12 TAHUN YANG BERBALOI

172 Views 0 Comment

Apabila ada banyak perkara bagus mahu diangkat di dalam penulisan, akan timbul masalah yang mana satu harus didepankan atau ditinggalkan tanpa bicara terus. Ada ketika, mudah sahaja perhitungannya. Ini fenomena biasa yang saya lalui sejak menduduki kerusi wartawan hiburan lebih 20 tahun lalu.

Lebih-lebih lagi untuk mengulas filem, konsert atau filem. Hal ini sekali lagi terjadi selepas menonton Dukun. Mungkin juga disebabkan sudah lama tidak mengulas dan menilai kerja seni tetapi filem yang terperap 12 tahun ini membuatkan saya kembali berada di dalam situasi di atas. Cuma hari ini saya bukan lagi terikat dengan mana-mana media, yang membolehkan saya lebih bebas untuk menulis apa yang saya inginkan dan yang lebih penting makin rapat di hati.

DAIN SAID (gambar NSTP)

Dukun punya nostalgia tersendiri untuk saya. Karya ini juga yang mempertemukan buat pertama kali di antara saya dengan pengarahnya, Dain Said. Lokasinya di Penjara Pudu dan tarikhnya saya tidak ingat. Yang saya ingat adalah kedatangan saya ketika itu adalah ajakan Penerbit Eksekutifnya, Dominique Hee dan pelakon utamanya, Datin Paduka Umie Aida.

Hari itu babak hari terakhir Diana Dahlan di dalam penjara. Babak Diana digantung dan dia mahu mati di dalam pakaian glamor dan tampil cantik. Dress kelabu bersekuin itu menjadi pakaian pilihan Diana sebelum bergelar arwah.

Saya sudah tidak ingat apa yang kami bincangkan di penjara itu tetapi saya tetap ingat yang Dain pernah menunjukkan rakaman babak rasukan Diana dan membuatkan saya tergamam dan kagum dengan imejan cantik tersebut. Belum dipakai Computer Generated Image (CGI). Babak ini saya nantikan ketika menonton Dukun tanggal 4 April lalu.

UMIE AIDA

Apa yang boleh saya katakan, kerja seninya tahap dunia. Kata Umie selesai tayangan itu, babak tersebut paling sukar untuk dilakukan. Penatnya bukan sedikit, apatah lagi perlu dilakukan oleh dua pelakon serentak.

Biarpun Dukun gagal ditayangkan pada 2007 (dengan klasifikasi U), saya mula mengikuti pergerakan Dain yang sebelum itu terkenal sebagai pengarah iklan komersil. Selepas itu Bunohan (2012) dan Interchange (2016) dihasilkan yang saya sifatkan sebagai suatu tanda aras besar bagi seorang pengarah Melayu.

Selepas tayangan Dukun, saya berbual singkat sebelum Dain bergerak bertemu rakan media lain. Dia masih nervous seperti selalu apabila tiba tayangan terbarunya. Saya katakan pada Dain yang kebetulan ditemani Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, alangkah bagusnya Dukun ditayangkan 12 tahun lalu.

Saya cuba untuk tidak skeptikal terhadap usia pembikinan dan berharap ia masih relevan untuk tayangan hari ini. Alhamdulillah, biarpun 12 tahun terperap tanpa sengaja, persembahan terutama dari aspek produksi memenuhi piawaian penilaian saya. Ya, Dukun sangat relevan dan saya tidak akan membandingkan filem-filem Melayu yang dihasilkan dalam setahun dua ini tetapi masih terperangkap dengan era belakang.

Pembikinan Dukun jelas semasa dan saya percaya ia akan menjadi filem malar segar. Durasi sepanjang 106 minit itu berlalu penuh debaran tanpa sedar dan saya katakan pada Umie (menerusi telefon), filem ini patutnya disambung lagi untuk melihat ‘kehidupan’ Diana Dahlan di dalam Nadia Karim (Elyana).

FAIZAL HUSSEIN

Ya, filem yang bagus selalunya membawa kita hanyut ke penghujung tanpa terasa. Dukun berjaya membawa saya ke alam ‘tanpa terasa’ itu. Cuba bayangkan kalau 10 minit pertama, anda sudah resah gelisah di dalam panggung berhawa dingin dengan cerita entah apa-apa. Apatah lagi seperti yang saya juga katakan pada Umie, suntingan dan susunan plot oleh Dain sangat bijak. Kronologi bikinan Dain sangat pandai, sebagaimana yang dilakukannya dalam Interchange.

Andai mereka yang tidak ‘membesar’ di dalam peristiwa pembunuhan yang pernah menggempar dunia sekitar 1993 dan 1994 di Pahang (yang dikatakan menjadi inspirasi filem ini) pun akan faham dengan cerita yang Dain sampaikan menerusi Dukun.

Pastinya saya akan ke pawagam lagi untuk Dukun. Cerita Umie sebagai Diana Dahlan? Hurmmmm…saya bincangkan di dalam artikel seterusnya.

0 Comments

Leave a Comment