BANKRAP BUKAN TEWAS

117 Views 0 Comment

Sepanjang menyudahkan manuskrip buku Bangkit Bila Bankrap, mengingatkan saya terhadap tugas-tugas lama ketika menulis di Harian Metro dan beberapa portal (jemputan) yang berkisar tentang manusia dan kemanusiaan. Sebagai wartawan, temubual dengan manusia lain terutama selebriti, membuka minda untuk saya menilai diri sendiri.

Bangkit Bila Bankrap, buku terbaru Fizo Omar ini turut membawa saya kembali mengenali diri sendiri. Pengalaman membesar sebagai manusia bernama Fizo Omar selaku selebriti dan usahawan hari ini membuat saya tertanya, “apakah pencapaian aku” selama hidup?

Saya membaca tanpa lelah manuskrip ini kerana secara tanpa sengaja terbawa diri menyelami kisah suka duka orang yang menjadi perhatian masyarakat. Ya, Tuhan memberi bahagian berbeza kepada setiap makhlukNya tetapi sebagai ciptaanNya, bagaimana pula penerimaan kita? Sejauh mana kita bersyukur atau apakah hidup kita untuk membanding dengan orang lain?

Bangga saya melihat bapa muda berusia 33 tahun ini menelusuri denai, menuruni lembah dan mendaki puncak sehingga membina Fizo Omar Channel (FOC). Cerita-cerita yang disusun menerusi 12 bab bukan sekadar kisah, sebaliknya mempunyai falsafah sendiri pada setiap kejadian.

Paling ketara mengenai pengumuman bankrap yang menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar kira-kira lima tahun lalu. Pemerhati industri hiburan tentunya mengikuti cerita itu dan sehingga hari ini, kes yang dianggap ‘penipuan’ itu belum selesai.


Bagaimanapun status muflis itu tidak membuatnya tewas. Status yang dianggap beban itu sebenarnya membuatkan dia bangkit lebih tinggi dan menyedarkan Fizo yang selama ini lena diulit mimpi glamor dan kemasyhuran sebagai pelakon. Bangkitnya kali ini lebih kepada persediaan dengan menimba ilmu-ilmu perniagaan dan kemanusiaan.

Buku ini tiada lain katanya, selain daripada berkongsi bersama pembaca dengan harapan dapat memberi sedikit sebanyak suntikan semangat dalam memajukan diri.

“Saya bukanlah hebat sangat, pengalaman pun belum banyak tetapi apa yang saya lalui selama ini diharapkan mampu dijadikan teladan dan sempadan. Jangan ulangi kesilapan yang pernah saya lalui kerana sekeliling kita ramai yang cuba mengambil kesempatan. Belajarlah bagaimana untuk menangkisnya,” kata Fizo usai suntingan terakhir Bangkit Bila Bankrap.

Tidak hanya itu, dia turut berkongsi bagaimana perniagaan yang sedang dijalankannya baik menerusi seminar mahupun FizoMawar Kitchen (FMK) berlandaskan kepuasan. Panjang lebar juga saya membaca bab Wang atau Puas Jiwa yang memperkatakan tentang passion dalam melakukan sesuatu.

Benar orang berniaga akan mencari keuntungan tetapi apa yang lelaki Kelantan ini kongsikan di dalam buku itu telah membuka pandangan saya terhadap bisnes itu sendiri. Ramai usahawan yang terhenti sekerat jalan kerana terlalu memfokuskan keuntungan sehingga mengabaikan hal-hal lain termasuk kebajikan kakitangan, zakat, sedekah dan sebagainya.

Saya tertarik dengan topik Peti Besi yang berasaskan kuadran ekonomi ciptaan Robert Kiyosaki. Daripada kuadran pakar ekonomi dunia yang terkenal dengan bukunya, Rich Dad Poor Dad itu, Fizo mentafsir caranya sendiri dan bagaimana kuadran itu pada perkiraannya boleh diubah. Seseorang usahawan kalau mengikut kuadran Kiyosaki, bermula dengan kategori pekerja, bekerja sendiri, pemilik bisnes dan berakhir sebagai pelabur. Fizo pula berdasarkan pengalamannya, dia melihat kategori pekerja itu tidak perlu melalui dua lagi kategori untuk bergelar pelabur.

Ayah kepada seorang anak ini turut memperkatakan tentang golongan millenial yang perlu diberi perhatian oleh golongan peniaga. Mengikut kajian, millenial kini menjadi kuasa membeli terbesar terutama menerusi online. Walaupun ramai antara mereka yang berada di dalam ekonomi yang tidak stabil tetapi millenial mampu menjadikan sesebuah produk atau servis melonjak namanya.

Saya belajar tentang millenial menerusi Bangkit Bila Bankrap dan membuatkan saya ingin mengkaji lebih banyak tentang generasi Y, Z dan seterusnya. Mereka membeli!

0 Comments

Leave a Comment