‘DI LUAR WARAS’

2707 Views 2 Comments

Secara amnya, kemunculan single pertama Datuk Seri Vida (DSV), I Am Me bukan sekadar mengukuhkan penjenamaan usahawan produk kecantikan itu semata-mata malah ia membuka lembaran baru untuk industri muzik Melayu. Apatah lagi karyanya ciptaan orang besar industri, KRU.

Biarpun secara peribadi, lagu ini bukan pilihan jiwa saya namun KRU bijak menghasilkan lagu yang sesuai dengan karakter wanita kelahiran Kelantan itu dan kini semua tahu I Am Me sedang viral ke seluruh dunia.

Menerusi perkembangan ini, saya melihat satu fenomena baru untuk menambahkan warna industri muzik yang tak seberapa ada. Siapa sahaja boleh bergelar penyanyi hari ini, asalkan ada suara dan lebih utama, pengikut di laman sosial mesti minimum ratusan ribu untuk mempercepatkan tularan.

Selama ini, seseorang artis menggunakan populariti mereka untuk mengumpul database (pangkalan data) peminat yang mungkin berpotensi untuk menjadi pembeli seandai mereka mengeluarkan produk jualan. Hakikatnya juga, usahawan-usahawan di luar sana cuba mendekati artis popular untuk mempopularkan produk mereka.

Bagaimana DSV berjaya memecahkan tembok itu. Popularitinya sebagai empunya produk kecantikan semakin membesar sejak bergelar penaja utama beberapa acara hiburan atau program TV. Seseorang usahawan perlukan populariti untuk menularkan jenama mereka dan produk ke seluas mungkin wilayah yang dihuni manusia.

20170714_193546

Tidak mustahil selepas ini, semakin ramai usahawan yang sedia ternama dan berjaya (dari aspek kewangan) akan melabur untuk menghasilkan single atau album dalam usaha menambah populariti mereka terutama di laman sosial. Mereka telah menggunakan pelbagai kempen termasuk di ‘luar waras’ dalam usaha meraih populariti menerusi landasan pemasaran digital.

Penghasilan lagu untuk bergelar penyanyi profesional (ada lagu sendiri) atau pelakon adalah laluan baru untuk mereka mengukuhkan jenama dan kekal berada di dalam pasaran. Saingan mereka bukan sedikit dan pelaburan yang mereka keluarkan juga tidak terkira banyaknya.

Saya melihat ini juga peluang untuk komposer, arranger, penulis lirik atau pemuzik untuk kembali ligat berkarya. Pernah juga saya khuatir akan lahir lagu atau melodi yang bukan-bukan untuk disesuaikan dengan kemampuan pemunya suara (usahawan) tetapi apabila difikirkan semula dan melihat keadaan industri, tiada bezanya dengan kebanjiran artis Youtube atau Smule.

Saya bukan tukang ramal tetapi menerusi perspektif peribadi, saya simpati dengan industri seni muzik. Namun siapa yang peduli industri atau usaha memartabatnya, masing-masing ada keperluan sendiri untuk kelangsungan hidup mereka. Biarkan!

Di dalam hal ini juga, artis yang sedia ada seharusnya melihat fenomena begini sebagai peluang untuk mereka mengumpulkan kekayaan, bukan sebagai duta tetapi sebagai pemilik bisnes. Putaran hidup artis bukannya lama, wajah baru silih berganti. Boleh dibilang jari anak seni yang mampu bertahan lebih 20 tahun. Semuanya untuk persediaan ketika ‘hari hujan.’

2 Comments
  • muzikkita

    Reply

    Perenggan akhir win!

    https://muzikkitamy.blogspot.my/

  • Zul Aziz

    Reply

    Setuju dengan pandangan Tuan Abie.

    Bukan artis sahaja, malah setiap daripada kita perlu pandai untuk menghidu dan menyambar peluang yang ada.

Leave a Comment