KUASA BELI KEKURANGAN SAKTI

48 Views 0 Comment

Dua hari sebelum berakhir Oktober, seorang teman yang ‘menghilang’ dari radar komunikasi tiba-tiba menghubungi. Tanpa teks mesej, terus sahaja bersuara. Kedengaran keluh-kesahnya tentang bisnes butik yang dijalankan hampir dua tahun di Seremban harus ditutup secepat mungkin. Pelanggan makin berkurang tetapi kos selenggara butik, pentadbiran, gaji pekerja dan modal pula bertambah. Lebih parah apabila tidur malam asyik terganggu memikirkan bisnes yang menunggu hari untuk dikuburkan.

Beberapa tahun lalu, saya antara yang kagum melihat butik-butik bumiputera terutama berkonsepkan pakaian muslimah berdiri megah di Bandar Baru Bangi tetapi kini hanya tinggal beberapa, malah ada yang bertukar cabang bisnes demi kelangsungan seorang usahawan.

Hajaba kini tinggal nama.

Kebetulan saya terbaca entri di Facebook milik Mona Din (gambar utama) yang terkenal sebagai seorang usahawan berjaya menerusi produk kecantikan Felisa dan pakaian Hajaba sebelum ini turut menyatakan kisah yang berkaitan. Relevannya sama, ekonomi yang dikatakan semakin tidak sihat. Saya tidak pandai meramal atau merumuskan seperti kebanyakan mereka yang menyifatkan 2018 adalah tahun genting dalam perbelanjaan namun itulah yang dibisik setiap kali bercerita tentang bisnes yang semakin menguncup.

Mona yang telah lama saya kenali (sejak kami sama-sama di bawah bumbung media) menyedari penguncupan ini bermula daripada pelaksanaan GST dan beberapa butik Hajaba di kompleks premium seperti Suria KLCC, Pavillion, Bangsar Village, Alamanda dan banyak lagi terpaksa menerima tempias yang sama sehingga ditutup satu demi satu dan terakhirnya pada Oktober 2016.

Persaingan bukan sahaja dengan keghairahan anak-anak tempatan membuka butik online malah terpaksa mengalah pada harga yang ditawarkan oleh warga asing dari India, Pakistan dan Bangladesh yang jauh lebih rendah.

Saya bangga dengan pencapaian Mona dan suaminya, Zulkifli Ali yang menjadi antara pemain industri sangat berjaya mengangkat jenama produk bumiputera dan menurutnya pada status berkenaan, dia meninggalkan bisnes mereka tanpa hutang dan melangkah penuh hemah sambil menjalani kehidupan yang semakin bermakna. Mereka juga harus saya contohi, insyaAllah.

Tidak hanya perseorangan, kisah hypermarket Giant yang mengumumkan penutupan lima cawangannya baru-baru ini bagaikan petanda baru sebuah keresahan yang perlu diambil berat oleh kita. Sebelum ini Aeon Mahkota Cheras, Selangor juga ditutup kerana jualan tidak melonjakkan semangat untuk mereka meneruskan perniagaan di situ. Satu demi satu penguncupan berlaku di depan mata.

Bagaimanapun ini bukan bermakna mereka yang sedang bertungkus-lumus meneruskan perniagaan harus berhenti juga. Sebenarnya ia juga bergantung kepada jenis perniagaan dan apa yang kita tawarkan kepada masyarakat. Barangan keperluan asas manusia masih lagi menjadi pilihan tetapi terpulang kepada kita untuk memasarkannya sebaik mungkin tanpa menjejaskan audit kos yang banyak.

Leo Adi Putra kembali rancak berkempen Gel Amani.

Sebaliknya di dalam situasi yang disifatkan tidak sihat ini, para usahawan perlu mempertingkatkan kreativiti untuk menambat hati pelanggan dan kenapa mereka harus mendapatkan produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Saya tertarik dengan kebanyakan usahawan online yang tidak ketinggalan dalam trend semasa untuk memasarkan produk mereka. Pemasaran adalah untuk orang nampak apa yang kita jual dan trend hari ini, ramai yang menggunakan ‘live’ di Facebook. Namun mungkin tidak semua sesuai berbuat begitu, bergantung kepada jenis bisnes juga.

Eaishah Hamzah subur dengan produk kesuburannya.

Dalam pada itu, saya bangga dengan kejayaan bisnes rakan-rakan lain termasuk Dila Mubarak (Mamadil), Eaisyah Hamzah (Listra), Erna (DeXandra), Leo Adiputra (Gel Amani) dan Jamaluddin Bahari (SifuFBAds) yang masih menguasai pasaran masing-masing. Paling ketara mereka menggunakan online terutama Facebook sebagai platform pemasaran, baik mendekati pelanggan mahupun melahirkan usahawan baru di bawah syarikat masing-masing melalui sistem ejen dan stokis.

Antara mereka, ada juga memasang ‘pasaran’ menerusi offline yakni kedai fizikal tetapi online tidak ditinggalkan langsung. Mereka saya lihat antara yang paling aktif menggunakan platform ini untuk memasarkan apa yang diperjuangkan. Ketara relevan dengan kehendak semasa di mana masyarakat membeli di hujung jari tanpa ke kedai seperti 10-20 tahun lalu. Masakan wujudnya Lazada, 11th Street, Ali Baba, Zalora, Go Shop, CJ Wow Shop dan sebagainya. Mereka juga pemain yang mengikuti trend semasa.

0 Comments

Leave a Comment