LAWAN UMIE BUKAN DI SINI

260 Views 0 Comment

Seminggu sebelum ditayangkan, warga netizen serta teman media bagai meraikan kembalinya Dukun ke pawagam. Tular wanita berkebaya merah di jalanan melengkapkan lagi episod penayangan arahan Dain Said ini selepas 12 tahun terperap.

Tidak hanya Dukun, nama Datin Seri Paduka Umie Aida pastinya turut serta di dalam sebutan-sebutan itu. Filem belum ditayangkan lagi, Umie sudah dibayangkan sebagai Aktres Terbaik untuk festival filem akan datang. Bayangan berbaur harapan itu sebenarnya sudah lama kedengaran sejak Dukun siap dibikin.

Mungkin berat untuk Umie menggalas bayangan itu sebagaimana beban yang diletak di atas pundaknya sebagai Diana Dahlan. Tanggungjawabnya bukan mudah kali ini. Sebagai Diana yang dipercayai diinspirasikan daripada arwah Mona Fandey dan kisah pembunuhan kejam sekitar tahun 1993 di Pahang itu, penampilan Umie dilayar kali ini akan diperhati lebih tajam dan mendalam oleh masyarakat.

UMIE AIDA

Bukan seperti Embun (Embun) atau Sufiah (Leftenan Adnan), Diana begitu memberat. Mengenali Umie, saya faham kenapa dia menerima watak Diana. Secara teknikalnya, saya tidak arif tentang lakonan tetapi apa yang ditulis ini berdasarkan pengalaman menonton dan sedikit pengetahuan sepanjang menyandang tugas wartawan dulu.

Namun apa yang mahu katakan di sini, sepanjang 106 minit durasi Dukun, saya tidak melihat Umie Aida langsung kerana Diana Dahlan begitu hidup menerajui cerita. Banyak kali saya melihat kehebatan layar wanita ini termasuk menerusi Surah Terakhir tetapi Dukun menyaksikan pertambahan kematangan dalam lakonan. Sangat memberi, kadang-kadang bagaikan tidak percaya itu Umie Aida.

Ini filem besar, berjiwa antarabangsa. Malaysia masih punya karya dan anak seni yang hebat. Lawan Umie kali ini bukan di negara sendiri. Walaupun pernah tewas di Festival Filem Asia Pasifik menerusi Embun, saya percaya Diana Dahlan mampu memberi saingan sekali lagi (yang lebih sengit) di pentas Asia. Atau tidak keterlaluan, pergilah yang lebih jauh dan besar lagi. InsyaAllah!

FAIZAL HUSSEIN

Dukun sangat bertuah. Ramai pemilik anugerah di dalamnya. Faizal Hussein, Nam Ron, Dain Said, Hasnul Rahmat, Bront Palarae, Soffi Jikan dan Adlin Aman Ramli antara yang diiktiraf industri filem kita. Faizal sekali lagi menyerlah, membawa roh Karim yang kehilangan. Jiwa Karim yang serabut digambarkan realistik oleh Faizal. Saya sebagai penonton turut terasa kekalutan dek kehilangan orang-orang tersayang.

NAM RON

Dukun sebuah filem lengkap walaupun saya sedar, penonton hari ini ke pawagam untuk cerita dan siapa pelakonnya. Mereka tidak mahu melihat dari aspek lakonan. Namun cerita tidak akan sampai seandainya pelakon tidak mampu memberi apa yang cerita mahukan. Ini tidak berlaku pada Dukun. Lengkap!

0 Comments

Leave a Comment