MANIS MEMBERI

88 Views 0 Comment

April bermula dengan manis. Seorang teman menghadiahkan koleksi mahalnya kepada beberapa teman. Minyak wangi, pakaian dan beg antaranya yang majoriti belum dipakai. Ada lagi yang harus dikurangkan di rumahnya!

Saya antara yang bertuah petang itu menerima Atelier Cologne. Namun apa yang lebih manis dan menarik adalah konsep ‘decluttering’ – menyahkan segala yang tidak perlu di dalam simpanan. Teman itu seorang collector tetapi entah angin mana yang menerpa, dia memutuskan untuk mengurang simpanan-simpanan yang pernah memberi kepuasan jiwanya.

Katanya ingin minimalis. Saya setuju, yang kebetulan juga sedang mengeluarkan barang-barang yang tidak perlu. Malah dalam kategori saya mungkin lebih teruk, bukan lagi tidak perlu tetapi sepatutnya dibuang. Sejak pertengahan 2017, sedikit demi sedikit ‘harta’ itu dikeluarkan dan sesetengahnya ‘disambut’ oleh tukang cuci.

Bayangkan sepanjang lebih dua dekad menjadi orang media, pelbagai produk dan barangan dihulurkan. Sama ada untuk reviu mahupun cenderamata. Belum lagi dicampur dengan barangan yang dibeli dan dikumpul secara tidak sedar sepanjang tempoh itu. Dulu simpan sebab memikirkan akan digunakan kemudian tetapi ‘masa yang kemudian itu’ tak pernah muncul-muncul. Alamatnya, terkumpul dan mengumpul di dalam bilik nombor tiga.

Kadang-kadang terfikir apakah saya seorang hoarder? Hoarder – orang yang suka menyimpan barang terlalu banyak tetapi tidak tahu bagaimana membuangnya. Namun selepas meneliti hoarder, Alhamdulillah saya belum sampai ke tahap itu. Bagaimanapun ia mengingatkan saya untuk kembali minimalis secantik mungkin. Minimalis cara tersendiri.

Sesetengah barang, ada beberapa teman yang memerlukan. Tidaklah terasa membazir seperti mana yang dilakukan teman yang saya maksudkan di atas. Malangnya sudah beberapa kali saya melakukan spring cleaning tetapi tidak banyak yang luak terutama dari gobok pakaian. Maknanya, aktiviti menyahkan barangan perlu disegerakan lagi.

Manisnya di sini, saya melihat situasi tersebut sebagai konsep memberi. Mungkin sesetengah orang menganggap ‘kurang sopan’ menerima barangan yang tidak diperlukan orang lain. Lain orang lain tafsirannya. Dan di dalam situasi begini, adalah lebih afdal memberi kepada orang yang mampu memanfaatkannya daripada membazir.

Memberi tidak semestinya yang masih di dalam bungkusan atau baru keluar dari premis jualan. Ia lebih kepada ingatan sesama sendiri.

Ada ketikanya saya juga segan untuk memberi barangan yang saya kira tidak sesuai diberi tetapi ada juga teman yang mendepa tangan menerima dengan terbuka. Dia lebih memerlukan daripada saya.

Di dalam konteks ini, saya kira ia bergantung kepada siapa yang kamu mahu berikan dan apa barangan yang ingin diserahkan. Hidup minimalis adalah jalan terbaik untuk teman tadi dan mungkin saya juga mengekori. Saya juga sudah mulai hilang nafsu untuk membeli-belah seperti dulu. Syukur!

Sebagai manusia, itu pilihan yang kita miliki. Pilihan yang harus kita gunapakai sebaik mungkin untuk menjalani hidup yang lebih bermakna dalam erti kata masing-masing.

HOARDER (GAMBAR SEKADAR HIASAN)

Bagaimanapun decluttering di sini saya juga turut melihat dari perspektif dalaman sebagai sebuah pembersihan jiwa. Secara tidak sedar, teman tadi sebenarnya tidak mahu lagi terikat dengan komitmen cintanya kepada barangan-barangan yang memberinya bahagia selama ini. Kini tidak lagi. Bahagia memiliki koleksi mahal sudah hilang dan dia perlu mencari bahagia lain dengan memberi.

Barangkali ini juga sebagai sebahagian daripada pembersihan jiwa, yang tersekat selama ini dan tidak memberi kepuasan. Wallahualam! Dan dia mencari lagi untuk memenuhi kehendak bahagia itu.

Tulisan ini terpaksa berhenti di sini. Banyak lagi barang yang harus ditimbangtara untuk proses cluttering. Opss… cuba tanya diri, apakah kamu juga minimalis? Hoarder?

0 Comments

Leave a Comment