MASA UMRAH PUN… ALAHAI

7364 Views 0 Comment

Ramai juga yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak menjatuhi hukuman kepada seorang bapa berusia 36 tahun dengan penjara selama 48 tahun dan 24 sebatan kerana didakwa dengan 623 pertuduhan rogol, liwat, sumbang mahram dengan melakukan seks luar tabii terhadap anak kandungnya yang berusia 15 tahun.

Hingga kini kes ini masih diperkatakan. Mereka geram dan pada pertimbangan akal mereka, lelaki itu patut diberi hukuman lebih berat memandangkan anaknya itu akan menanggung trauma tersebut sepanjang hidupnya.

Saya sendiri sepanjang menyandang jawatan wartawan, belum pernah didatangkan ke meja tugasan dengan kes sebanyak ini oleh hanya seorang penanggung berkaitan jenayah seksual. Hilang kata-kata untuk memberi pandangan atau gambaran tentang kes ini. Cukuplah membaca segala laporan dengan kepala yang memberat. Moga mangsa beroleh ketenangan sebaik mungkin. InsyaAllah!

Berdasarkan laporan kes sebelum ini, mangsa didakwa telah diliwat buat pertama kali oleh tertuduh ketika berusia 13 tahun semasa mengerjakan ibadah umrah pada 3 April 2015. Mangsa mendakwa dihempap dari belakang, ditarik seluar, ditutup mulut dan tertuduh memasukkan kemaluan ke dalam dubur mangsa.

Malah, terdapat satu kejadian di mana mangsa menjerit kesakitan dan sehingga terkeluar najis akibat terlalu menahan sakit.

Itu antara sebahagian daripada ratusan siri trauma dan keperitan dilalui mangsa yang diceritakan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Mangsa tinggal bersama bapanya sejak Januari tahun ini selepas ibu bapanya bercerai dan dia memberitahu ibunya mengenai kejadian itu setelah mengetahui bapanya akan mengambil dua adiknya untuk tinggal bersama mereka dan dia takut perkara sama berlaku kepada adik-adiknya.

Laporan polis mengenai kejadian dan perbuatan lelaki itu dibuat oleh bekas isteri tertuduh pada 25 Julai lepas.

Pastinya, kes ini telah terpahat dalam lipatan sejarah jenayah juvana negara apabila Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan lelaki itu merupakan tertuduh pertama negara ini yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual.

Menurut laporan www.astroawani.com, Yong Zarida menjatuhkan hukuman itu selepas bapa tiga anak perempuan berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut pada Jumaat.

Yong Zarida menjatuhkan hukuman penjara kepada lelaki itu selama 28 tahun kerana melakukan sumbang mahram, serangan seksual fizikal tanpa persetubuhan, mengabaikan dan mendera anak secara seksual.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun penjara di atas tuduhan meliwat mangsa. Hakim telah memerintahkan hukuman dijalankan bermula 26 Julai lalu pada hari tertuduh ditangkap.

Lelaki yang merupakan ejen unit amanah itu menghadapi 591 pertuduhan kerana meliwat anak perempuannya, 30 pertuduhan kerana seksual secara fizikal dan satu lagi pertuduhan kerana mendera mangsa.

Dia didakwa meliwat anak perempuannya tiga kali sehari antara Januari dan Julai tahun ini, kecuali dua hari sebelum Ramadan dan hari pertama sebelum bulan puasa bermula pada Mei lalu.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin.

Kes ini bukan sahaja mendapat liputan media tempatan malah media antarabangsa turut terpanggil untuk mencatat sejarah kes berprofil tinggi ini.

0 Comments

Leave a Comment