TERIKAT KAEDAH TUA

343 Views 0 Comment

Saya pernah menulis tentang ini. Tentang populariti artis dan showbiz. Tidak termasuk bisnes bermusim yang jadi anutan mereka. Tentang dunia semakin laju bertukar ganti. Daripada analog kepada digital dan digital pula tampil pelbagai rupa. Ada yang mengejar, tidak terkejar dan ramai yang tidak peduli.

Tidak peduli kerana mereka fikir sudah popular. Atau berharap peminat dan pengikut akan bertambah, sedikit demi sedikit. Sedangkan mereka seharusnya berlumba mengumpul seramai mungkin pengikut. Itu yang menjadi ukuran populariti hari ini. Stesen TV juga bergantung harap jumlah pengikut untuk menyokong mereka ditawar beraksi di depan kamera.

Media konvensional masih membantu. Terutama bina kredibiliti. Kadang-kadang media tradisional juga melihat populariti digital akaun artis untuk timbang tara bagi paparan mereka. Nah, kamu jangan bodoh sombong kalau ingin terus bersaing dalam arus perdana. Jangan lagi khayal dalam ayat klise ‘aku bukan bersaing, tapi sekadar meriahkan industri’. Itu penafian namanya.

Kesohoran DSV bukan alasan untuknya timba ilmu bisnes.

Kesohoran DSV bukan alasan untuknya timba ilmu bisnes.

Tidak ramai selebriti lokal melebihi 4 atau 5 juta pengikut di laman sosial. Sedangkan Neelofa dengan catatan tertinggi pun, tetap praktikkan iklan Facebook (FB Ads) untuk jualan wangiannya. Datuk Seri Vida terbukti kaya dan terkenal, tetap kelihatan di majlis ilmu bisnes. Apatah lagi kamu yang sekadar wujud dalam samar. Tidak malu?

Kebetulan saya bersua dengan beberapa karyawan dalam satu majlis. Bicara kami tentang filem, tentang festival dan tentang industri. Banyak yang malap di segi sambutan. Kenapa? Kalau ditanya saya, jawapan pertama tentunya publisiti. Ramai yang masih gunakan kaedah tua. Tiada bezanya yang dilakukan pengkarya 80-an dan 90-an. Jadi, bagaimana mahu menangkap mata warga milenium?

Mereka membuka telinga, dengar cerita saya. Dan bagi saya, mereka harus pantas dalam digital. Kempen bukan sekadar sidang media lagi. Berharap wartawan menulis semata-mata. Sepatutnya ditambah ligat dengan kempen di platform digital. FB, Instagram, blog, Youtube, emel dan seumpama. Manfaatkan semua itu. Baik organik mahupun berbayar!

“Kami bukannya pandai sangat!” celah seorang daripadanya.

“Cari yang pandai. Kamu fokus buat filem. Kamu bukan Superman, semua nak buat!” dalam gurau saya beri.

Jangan cakap tentang database (pangkalan data). Menambah pening mereka. Kalau mereka tahu peri pentingnya data-data ini, rasanya makin rancak industri.

Cerita lain pula. Tapi masih orang seni. Saya bertemu seorang penyanyi. Baru lancarkan single. Boleh tahan melodi dan produksinya. Masalah dia pun sama. Merungut radio tak nak mainkan lagu. Wartawan kononnya tak mahu interviu. Katanya industri semakin sukar. Tidak adil untuk dia.

Mendengar rungutan itu, terasa mahu saja saya sekeh kepala dia. Dia tak melihat halangan itu suatu ujian untuk dia lebih kreatif. Saran saya, platform digital terlalu luas untuk dia bina populariti. Katanya, orang radio banyak main lagu artis Youtube. Dalam hati saya, kamu yang bodoh! Cuba fikir, kenapa orang radio pilih Youtuber? Sebab populariti. Kalau nak ikutkan lagu pertama Aiman Tino, rata-rata radio swasta takkan main. Tapi sebab popular dan tular, mereka mengalah.

maxresdefault
Di sinilah pentingnya ‘sekolah’. Jangan terikat konvensional. Itu gali kubur sendiri namanya. Cari mereka yang pakar pemasaran digital. Ikut trend. Tapi jangan bodohkan diri semata-mata nak tular. Itu tingkah pemilik produk yang minta dihina. Kamu jangan!

Rata-rata selebriti atau pengurusan mereka, kedekut untuk melabur. Belanja duit untuk promosi digital. Saya nampak sangat potensi ini. Tapi mereka hanya belanja buat lagu atau filem semata-mata. Lagipun sudah terbiasa dapat publisiti percuma di akhbar.

Saya boleh tolong. Semampu ada. Kalau mahu!

0 Comments

Leave a Comment