10 HARI, RM4,000, 5 LOKASI SEPANYOL

199 Views 0 Comment

Angan-angan untuk menjejak kaki ke Sepanyol sudah lama. Ada saja halangan tetapi tetap tidak menyekat impian itu. InsyaAllah Rabu ini, 8 November 2017 bakal menjadi sejarah buat saya untuk merealisasikan anganan tersebut. Saya berdua dengan rakan cuba meneroka negara yang pernah dijajah oleh Islam dulu ini.

Bandar-bandar popular mereka seperti Madrid, Barcelona, Seville dan Cordoba antara yang ada dalam perancangan kami. Bagaikan wajib untuk pelawat ke lokasi-lokasi tersebut dan saya paling teruja untuk menghirup udara Alhambra selepas banyak diceritakan keindahannya oleh teman-teman yang pernah ke sana. Tengok gambar bangunan sekitar Alhambra pun sudah cukup membuakkan hati untuk ke sana.

Saya bernasib baik kerana teman kembara ini rajin meneroka laman-laman web. Bukan hanya lokasi (lokasi takkan beralih pun), bahkan yang lebih penting adalah tambang pesawat, hotel, pengangkutan di lokasi nanti dan makanan. Sangat penting buat kami, terutama apabila memikirkan tentang bajet. Oppss, kami bukan pelancong 5 bintang, cukup sekadar pengembara ‘backpackers’ cara kami. Sebelum ke Sepanyol pun, rakan kembara pernah berbuat perkara sama ketika kami ke London, Jerman, Belanda, Belgium sebelum ini serta Jepun tahun lalu, Perth pada 2015 dan beberapa negara lagi.

Seperti langkah ke Sepanyol ini, kami hanya memperuntukkan belanja sekitar RM4,000 untuk penerbangan, hotel dan pengangkutan di sana. Perancangan sangat penting untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi. Kami bukannya mengikut ‘tour agency’ yang boleh serahkan bulat-bulat perancangan kepada mereka. Kami bergerak sendiri dan bermakna, segalanya atas bahu kami.

Beberapa bulan sebelum terbang, rakan kembara saya sudah menyelidik tambang atau tawaran syarikat penerbangan. Selepas kami bersetuju memlih tarikh terbang, maka bermulalah pencarian tiket kapalterbang paling berpatutan. Bukan cari paling murah tetapi perlu diambil kira juga jenis penerbangan. Murah sangat pun tetapi penerbangan yang ada rekod tidak baik, rasanya tidak perlulah untuk kami berkorban sepanjang 14 jam di dalam pesawat nanti.

Menerusi Expedia, kami memilih British Airways apabila mendapat tawaran menarik pada harga RM2060 pergi balik dari Kuala Lumpur ke Heathrow, London. Bagaimanapun promo ini hanya penerbangan dari Kuala Lumpur – London – Madrid – Kuala Lumpur.

Dari Heathrow, kami perlu ke London Gatwick Airport untuk ke Madrid. Naik bas ke Gatwick pada harga 15 pound (lebih kurang RM84), itupun beli secara online seminggu sebelum tarikh bertolak. Boleh juga beli di kaunter tetapi harganya antara 30 hingga 40 pound. Kalilah dalam RM.

Terbang ke Madrid selama 3 jam pada harga RM200 seorang. Hotel di Madrid sudah ditempah awal pada harga RM472 untuk 2 malam. Berbaloi untuk hotel berbintang 4 di Madrid. Dari Madrid, kami ke Cordoba menaiki keretapi laju ‘bullet train’ pada harga RM190 seorang. Kalau beli di kaunter mungkin harganya 2 kali ganda. 2 jam setengah untuk perjalanan ke Cordoba tetapi kami hanya berada di bandar itu selama 5 jam saja untuk merakam kotanya.

Selepas itu, menaiki bas pula ke Granada dengan tiket 10 Euro (RM40) yang boleh dibeli di sana. Kami akan luangkan masa 2 hari 2 malam di Granada kerana lokasi ini antara yang akan kami terokai lebih sedikit. Alhambra misalnya, perlu dihayati sebaik-baiknya. 2 malam menginap di hotel 4 bintang pada harga RM445, pun ditempah sebulan lalu demi harga yang lebih murah.

Dari Granada ke Seville menaiki bas. Tiketnya cuma RM40 seorang. Moga perjalanan dengan bas turut memberi senario Sepanyol yang menakjubkan. Di Seville juga akan diluangkan masa selama 2 malam dengan menyewa sebuah apartmen pada harga RM490.

Selepas Seville, kami ke Barcelona menaiki ‘bullet train’ sekali lagi. Tambangnya agak lumayan, RM350 sekepala. Mahal sedikit tidak mengapa, asalkan masa dapat dijimatkan. Masa diambil lebih kurang 5 jam setengah sahaja berbanding naik bas yang mungkin menelan tempoh 20 jam. Di Barcelona juga kami memilih sebuah apartmen (BnB) pada harga RM525 untuk 2 malam.

Hari terakhir di bumi Sepanyol, kami akan terbang ke Gatwick semula dari Barcelona sebelum ke Heathrow untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Untungnya untuk penginapan, bayaran dikongsi berdua. Jadi selepas dicampur tolak, kosnya sekitar RM4,000 seorang. Bagaimanapun jumlah itu tidak termasuk makan minum dan duit liburan lain. Pandai-pandailah berjimat dan bawa sedikit tunai. Selebihnya kad kredit mampu membantu untuk kecemasan.

Ringkasnya:

Pesawat:
Kuala Lumpur – London – Kuala Lumpur: RM2060
Gatwick – Madrid: RM200
Barcelona – Gatwick: (harga sudah termasuk dalam RM2060)

Bas:
Heathrow – Gatwick: RM84
Cordoba – Granada: RM40
Granada – Seville: RM40

Bullet Train:
Madrid – Cordoba: RM190
Seville – Barcelona: RM350

Hotel:
Madrid: RM472
Granada: RM445
Seville: RM490
Barcelona: RM525

0 Comments

Leave a Comment