15 LANGKAH MUDAH MANUSKRIP BUKU

442 Views 0 Comment

Ramai juga kenalan bertanyakan tentang buku. Bukan sekadar membaca, malah mereka berminat untuk mempunyai buku sendiri, buku yang tertera nama mereka sebagai penulis. Bukan juga kerana syok sendiri tetapi mereka melihat kelebihan buku untuk masa depan mereka. Buku bagi saya adalah pasport atau kad bisnes terbesar untuk seseorang memperkenalkan diri kepada khalayak masing-masing.

Beberapa teman baik daripada aliran media mahupun keusahawanan misalnya sering bertanya bagaimana untuk memulakan penghasilan sebuah buku. Susah fikir segelintir mereka walaupun daripada rakan media sendiri yang kerja utamanya menulis tentang kehidupan manusia lain. Tentang ‘susah’ yang difikirkan itu, sukar untuk saya melunakkannya menjadi ‘mudah’ kerana mereka terlebih awal pasakkan minda sebegitu.
20161025_130924
Bagaimanapun saya tetap bercerita berdasarkan pengalaman menghasilkan beberapa buku selama ini termasuk biografi, menjadi ‘ghostwriter’, penulis bersama sehinggalah lahirnya novel pertama, Yuya Yuya serta rumah penerbitan sendiri, Yuya Yuya Publication. Dan sekarang saya dalam proses menyiapkan dua buah lagi buku untuk seorang usahawan. InsyaAllah, semoga lancar apa yang dirancang.

Kalau ditanya, secara kasarnya boleh saya anggap mudah tetapi payahnya tetap ada dan bergantung pula kepada komitmen seseorang itu untuk menyudahkan apa yang dimulakan.

Selalunya mereka merungut tentang apa yang harus mereka tulis, topik apa yang sesuai, fiksyen atau bukan fiksyen, biografi, autobiografi, novel cinta, novel seram, kisah peribadi dan sebagainya. Tidak kurangnya juga usahawan muda yang bercita-cita membukukan kisah hidupnya sebagai inspirasi serta berkongsi petua-petua kejayaannya.

Jawapan saya, apa sahaja topik atau tema sesebuah buku boleh ditulis dan diterbitkan tetapi jangan syok sendiri. Ambil kira juga siapa yang akan membaca, membeli dan menghargai naskhah anda. Lainlah kalau anda sememangnya punya wang yang tidak dipakai dan menghasilkan buku untuk amal.

Wajah pertama Yuya Yuya sebelum ditukar final.

Wajah pertama Yuya Yuya sebelum ditukar final.

Saya sering tekankan juga tentang kos percetakan. Memang benar ada orang yang mencetak dalam kuantiti yang sedikit dan berdasarkan pesanan bakal pembaca. Namun untuk yang inginkan karya-karya mereka berada di dalam rak gedung-gedung buku ternama, tuntutannya lebih besar. Terpulang kepada objektif masing-masing.

Berdasarkan pengalaman (lain orang lain caranya, mungkin), di bawah ini cara saya menghasilkan Yuya Yuya.

1. Pengalaman saya di dalam kewartawanan hiburan lebih 20 tahun menjadi sebab untuk saya membukukan kisah itu dan menggunakan latar dunia seni sebagai fiksyen pertama saya.

2. Menulis sinopsis beberapa kali sehingga berpuashati dengan jalan ceritanya. Anda boleh meminta pandangan rakan-rakan tentang cerita yang sedang anda rancang dan suruh mereka membaca sinopsis. Terima teguran dengan terbuka walaupun ada ketikanya menyakitkan. Ingat, jangan syok sendiri.

3. Selepas sinopsis, saya akan senaraikan karakter-karakter terutama latar belakang, demografi dan hubungan antara satu karakter dengan karakter yang lain.

4. Daripada sinopsis, anda boleh mulakan ‘treatment’ bab demi bab. Setiap bab mesti ada cerita besarnya yang berkait antara bab-bab lain. Berhati-hati kerana biasanya boleh tergelincir dalam pertukaran karakter.

5. Untuk memudahkannya, anda membuat ‘mapping’ atau peta watak. Ini untuk mengelak kekeliruan.
Jangan takut untuk menghasilkan bab yang melebihi seperti awal pelan andai anda rasa cerita itu boleh terus dikembangkan.

6. Ceritakan apa yang ada di dalam bab pertama, kedua dan seterusnya.

7. Sub-plot penting untuk menyokong plot utama.

8. Apabila bab dan plot sudah bersatu, tiba masanya untuk anda memulakan penulisan.

9. Jangan takut untuk bermula. Jangan terikat dengan tulisan orang lain dan jangan merasakan tulisan anda tidak bagus. Teruskan menulis sehingga siap bab pertama. Dari sinilah anda akan tengok semula dan nilaikan.

10. Jangan sesekali berhenti separuh jalan dan merasakan apa yang anda tulis itu tidak bagus. Andai berhenti, bermakna kerja menulis anda akan berhenti dan berhenti yang akhirnya tiada kesudahan.

11. Ulang lagi langkah menulis untuk bab kedua, ketiga dan seterusnya. Siapkan dan barulah membaca semula.

12. Buat suntingan (edit) sendiri terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada editor sebenar. Namun kalau anda punya rakan yang sudi membaca karya anda, suruh dia nilaikan. Untung kan!

13. Baca lagi kerana biasanya anda akan terjumpa kesilapan-kesilapan kecil terutama ejaan, tersilap karakter atau juga antara bab boleh dicantumkan menjadi satu dan yang satu dipecah dua.

14. Selepas suntingan, kini siaplah manuskrip sebelum disusunatur di dalam format novel.

15. Bagaimanapun kontrak perlu ditandatangani terlebih dahulu sebelum novel dicetak. Perjanjian harus dibuat supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Rakan-rakan yang menyokong kelahiran Yuya Yuya.

Rakan-rakan yang menyokong kelahiran Yuya Yuya.

Sebenarnya untuk memilih topik bagi buku pertama, apa yang boleh saya sarankan ialah anda mencari isu yang anda dekat dan faham. Senang cerita, berdasarkan kisah hidup anda sendiri dan difiksyenkan agar ceritanya lebih berwarna-warni serta dramatik.

0 Comments

Leave a Comment