AKU MENULIS BUKAN KERANA NAMA

193 Views 0 Comment

Sebelum terlahirnya novel pertama saya, YUYA YUYA penghujung 2016, pelbagai bahan rujukan yang pada perkiraan saya perlu untuk memberi inspirasi tanpa mengira ia berbentuk novel, buku umum mahupun artikel di dalam media massa. Semuanya untuk menjadi jarum suntikan saya menulis dan menulis tanpa beralasan.

20170302_114019

Terus terang saya katakan, biarpun hidup saya berlumurkan dunia kewartawanan, pengalaman itu belum menguatkan semangat saya untuk menghasilkan sebuah novel. Lainlah kalau buku biografi yang sangat saya teruja sehingga lahirnya Legasi Datuk Ahmad Nawab: Seniman Negara dan berkolaborasi dengan teman-teman media menghasilkan biografi Datuk Sheila Majid. Suatu pencapaian peribadi untuk saya.

20170302_113346

Bagaimanapun novel banyak membantu saya untuk memulakan penulisan buku cereka pertama. Tidak kira daripada pengarang bertaraf Sasterawan Negara sehinggalah penulis yang masih belajar. Ada juga saya membeli novel remaja yang dikatakan ‘bestseller’ sebagai rujukan walaupun saya ‘tidak mampu menyudahkan pembacaan hingga ke halaman terakhir’. Namun bukan menidakkan isi di dalamnya tetapi bukan genre saya untuk menghadaminya. Apapun saya tetap kagum dengan usaha penulis muda menghasilkan novel itu.

20170302_113457

Sebenarnya saya terpukul dengan usaha penulis-penulis muda, terutama mereka yang sedang belajar di kolej atau universiti yang berjaya membukukan buah fikiran atau imaginasi mereka. Sedangkan saya yang belasan tahun menulis untuk akhbar (ketika itu) dan hanya menanam impian untuk mempunyai buku sendiri, belum tercapai hajat. Hanya impian tanpa tindakan.

 

Di sini saya melihat, apa sahaja buku atau naskhah yang mungkin tidak bagus atau sesuai dengan citarasa seseorang, tidak semestinya tidak berguna untuk orang lain. Malah satu patah perkataan pun sudah baik sekiranya ia mampu membawa perubahan yang lebih bagus dalam kehidupan seseorang individu. Bagus atau tidak sesebuah naskhah itu terpulang kepada penilaian masing-masing yang juga ‘bergantung’ kepada latar tumbesarannya. Jadi tidak adil untuk kita menghukum karya orang lain yang pada pandangan kita tidak bagus, sedangkan ia baik untuk orang lain.

20170302_114237

Menjadi penulis tanggungjawabnya besar. Mungkin lebih ramai yang menganggap menulis boleh membuat duit sekiranya jadi ‘bestseller’. Mencetak duit dengan mudah. Bahkan ketika saya dicadangkan untuk membuat buku, ada rakan menyifatkannya sebagai sumber pendapatan pasif. Bunyinya menarik dan memapahkan sebuah senyuman tetapi saya bagi saya, ia terlalu luas untuk difikirkan.

Buku bukan sekadar pendapatan pasif tetapi berdatangkan sekali dengan tanggungjawab yang perlu dijawab di dunia ini dan di dunia sana. Apabila memikirkan hal ini, penghasilan sesebuah karya harus lebih serius dan bukan memikirkan soal wang semata-mata. Namun ia langsung tidak membunuh semangat saya untuk menulis lebih banyak buku selepas ini. Jujurnya, tanggungjawab ini membuatkan lebih optimis untuk menulis lebih serius. Dan kini sedang merangka beberapa topik serta memberi peluang kepada lebih ramai penulis yang sealiran untuk menulis di bawah payung YUYA YUYA PUBLICATIONS.

**gambar buku-buku di laman artikel ini adalah koleksi peribadi penulis.

0 Comments

Leave a Comment