CINTA LENCUN DALAM HUJAN

97 Views 0 Comment

Salina menunggu dengan sabar apa yang Sabariah ingin sampaikan pula kali ini. Memang banyak derita yang ditanggung Sabariah dan sebagai sahabat, dia perlu menenangkan penderitaan jiwa janda berambut paras bahu itu. Dia tidak akan membiarkan Sabariah ‘menyanyikan’ lagu Derita Hatiku Tanggung Sendiri seperti Gaya Zakri. Dia tahu sekuatnya Sabariah bersabar, tetap kesabaran itu meluntur ke bawah. Semakin banyak ditanggung terbeban di atas batu jemalanya, semakin berat menghimpit perasaan Sabariah. Salina tahu itu.

Tiga hari lalu, Salina terkejut melihat Sabariah kekuyupan sebaik sahaja sampai di muka pintu lot rumahnya di flat itu. Jam sudah 10 malam ketika itu dan Salina yang telah pulang dari kerja lebih awal mulai runsing ketiadaan Sabariah di rumah lewat waktu. Rupa-rupanya ada cerita yang dibawa Sabariah bersama basah lencunnya pakaian serta takungan air di dalam beg sandang.

Cerita Sabariah kepada Salina keesokannya, dia berjalan kaki dari pusat kota Kuala Lumpur di dalam hujan lebat hingga sampai ke rumah itu di Batu 3, Cheras. Mulanya dia keberatan bercerita sebab musabab dia berbuat begitu kerana Salina tidak akan percaya masalah duit tambang bas menjadi kekangan utama. Kalau tiada duit pun, Sabariah pasti ada otak untuk menghubunginya meminta bantuan walaupun mereka sama-sama pengguna tegar bas Rapid KL.

“Aku ternampak dia,” kata Sabariah selepas diasak-asak Salina supaya bercerita.

“Siapa? Mangkuk jahanam tu?” Salina mula meninggi suara, geram pada Darma takkan habis.

“Zul…,” perlahan nada suara Sabariah menyebut nama Zul.

“Kau jumpa dia? Apa kau cakap dengan dia?” kini nada Salina pula bertukar, kembali ceria apabila sebut nama Zul.

“Aku cuma tengok dari jauh. Takut nak jumpa,” kata Sabariah.

“Laaa… mati-mati aku ingat kau dating dengan dia. Cehhhh!” kecewa Salina.

Perbualan tiga hari lepas itu membuatkan Salina berpendapat yang Sabariah sedang sakit kerana memikirkan bekas suami pertamanya. Dia pernah memarahi Sabariah apabila perempuan itu mahu berpisah dengan Zulkifli yang baginya tanpa sebab yang kukuh. Namun sejauh mana yang boleh dia marah atau nasihatkan kerana yang mahu menjalani hidup adalah Sabariah. Dan Sabariah lebih mengenali Zulkifli dan tahu luar dalamnya lelaki itu.

Selepas bercerai, Sabariah berkahwin dengan Darma yang dirasakan seorang lelaki sejati. Anak mereka diserahkan seratus peratus di bawah jagaan Zulkifli. Sabariah menurut kata Darma yang mahukan keluarga baru dan anak-anak baru. Demi maruah sebuah cinta, Sabariah akur dan kebetulan pula Zulkifli tidak mahu berpisah dengan satu-satunya cahayamatanya itu.

Sejak berkahwin dengan Darma, sekali pun Sabariah tidak menjengah atau bertanya khabar anaknya itu, jauh sekali khabar Zulkifli. Itu pantang Darma yang harus diikuti Sabariah. Lebih 12 tahun Sabariah menanggung rindu dalam sabar terhadap Farid namun apakan daya, sebagai isteri, dia mengikut apa sahaja yang disuruh suami.

**BERSAMBUNG

0 Comments

Leave a Comment