HANTU DAN BAYANGAN (Part 2)

336 Views 1 Comment

SEBAGAIMANA yang dijanjikan… Di sini saya kumpulkan beberapa bahan tentang maksud serta pengertian GHOST WRITER termasuk apa yang saya fahami sepanjang bergelumang di dalam dunia penulisan. Tidak semua yang saya petik tetapi saya amat berterima kasih kepada mereka yang berkongsi maklumat-maklumat ini untuk tatapan semua. Terutama blog tandapagar dan desainkata.

creative-writing1

Apa yang dinyatakan di dalam Google, sangat ideal untuk seorang GHOST WRITER. Cuma saya tidak perasan kalau ianya dipraktikkan begitu sekali di tanah air kita. Mungkin lain pemerintahan, lain cara yang diamalkan. Namun apa yang boleh saya simpulkan adalah bagaimana seseorang penulis itu bijak menimbangtara setiap tawaran. Jika kedua-dua belah pihak bersetuju, jabat tangan sahaja. Yang penting, sain kontrak, ada hitam putih!

Sebelum saya meneruskan kata-kata selanjutnya, ingin saya memperkatakan tentang maksud GHOST WRITER itu sendiri berdasarkan pemahaman peribadi saya. Dalam bahasa Inggeris, bunyi ‘grand’ bunyi GHOST WRITER (kalau anda tahu pemahaman sebenar seperti dalam post pertama saya, HANTU DAN BAYANGAN) tetapi apabila kita ‘direct translate’, kelakar dan seram bunyinya. Kan? Tak akan kita nak panggil sebagai PENULIS HANTU? Saya secara peribadinya kurang berkenan.

celebrity-biography-books-15book-ronaldo51ksjmsa0zl-_ac_ul320_sr208320_

Beberapa nama yang saya temui seperti PENULIS BAYANGAN dan PENULIS UPAHAN, mungkin agak selesa dibunyikan. Mereka diupah untuk menulis oleh sesiapa sahaja tetapi tiada nama yang tertera sebagai penulis. Kalau saya sebagai jurnalis sebelum ini, byline sering terpapar di bahagian artikel dan begitu juga menulis buku, nama akan terpampang di muka depan (cover). Namun saya juga menulis beberapa buku tanpa nama di atasnya dan ketika ini, tugas saya adalah GHOST WRITER. Kalau menulis kenyataan akhbar, lagilah jangan mengharap nama anda ada di atasnya!

Nama sahaja PENULIS UPAHAN tetapi ia suatu kerjaya profesional. Anda menggunakan bakat menulis itu untuk menghasilkan buku, artikel, rencana, kenyataan akhbar, kenyataan akhbar (press release), teks ucapan (majoriti YB atau menteri tidak tulis sendiri ucapan mereka yer) juga dipanggil SPEECHWRITER atau pelbagai lagi bentuk tulisan. Memang boleh hidup sebagai PENULIS UPAHAN kalau bijak menggunakan bakat dan tahu saluran yang betul.

Saluran yang betul? Jangan tanya topik ini dan saya tidak akan memanjangkannya di sini.

41n2c1tjqel

Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, sebagai PENULIS UPAHAN, nama anda tidak akan tertera sebagai penulis. Lebih-lebih lagi kalau anda menulis autobiografi seseorang. Banyak mana upah? Itu terpulang budi bicara penulis dengan tokoh atau seseorang anda berurusan dan seperti yang saya katakan juga di atas, lain lokasi lain caranya. Di negara barat misalnya, bayarannya mungkin lebih mahal atau ada juga yang barangkali menulis untuk kepuasan diri apabila berpeluang menulis tokoh yang dipujanya. Wallahualam!

Seringnya yang suka mengupah GHOST WRITER ialah para selebriti baik dari bidang politik, hiburan, bisnes, orang perseorangan yang inginkan rakaman hidup mereka di dalam bentuk buku dan sesiapa sahaja yang berkenan. Kebanyakan mereka yang tidak menulis kisah hidup sendiri biasanya ada sebab tertentu termasuk kesuntukan masa atas kesibukan karier, tidak tahu menulis tetapi mahu buku atau juga tokoh itu mengkagumi seseorang GHOST WRITER, lantas mahukan sentuhan penulis itu.

Saya meminjam beberapa fakta lain tentang GHOST WRITER daripada beberapa sumber yang menyifatkan penulis ini seperti hantu yang tidak nampak tetapi wujud. Mereka menyiapkan sesebuah naskah tetapi tiada siapa yang tahu siapa yang melakukannya. Orang awam hanya tahu pemunya nama yang dicetak di atas buku itu sahaja. Yer, nampak macam hantu yang tidak nampak tetapi ada!

Fakta kedua ialah peranan GHOST WRITER itu sendiri, bukan sahaja mengumpul bahan dan menulis, malahan menyunting sebagaimana editor di sesebuah syarikat penerbitan. Mereka akan menyusun ayat-ayat, memilih kata-kata yang sesuai hingga menjadi sebuah bahasa yang indah dan sedap dibaca. Kemampuan inilah yang biasanya tiada pada empunya buku tersebut.

41wfrghnozl-_ac_ul320_sr210320_

GHOST WRITER akan mengarang berdasarkan cerita yang diberikan oleh tokoh atau senang saya sebut di sini sebagai client. Tajuk dan jalan ceritanya haruskan tidak lari daripada penceritaan yang diinginkan client tersebut. Sebagai penulis yang bagus, mereka haruslah bijak mengenali dan memahami kehendak dan pemikiran client agar apabila menulis, mainan bahasa dan ayat itu akan selari dengan jiwa client. Bunyinya susah tetapi susah untuk yang pertama atau kedua, namun insyaAllah akan mudah andai mereka belajar dan belajar memahami karakter seseorang.

Di sini jugalah untungnya seseorang GHOST WRITER yang berpeluang mengenali secara mendalam dan lebih dekat dengan seseorang client. Bayangkan kalau dapat menulis tentang kisah hidup Perdana Menteri atau bintang seperti Datuk Siti Nurhaliza, tentunya lain perasaan itu, bukan!

Apabila dipertanggungjawabkan menulis tentang seseorang tokoh misalnya, penulis perlulah sentiasa berhubung dengan client. Pastinya yang wajib adalah menjalinkan hubungan yang baik kerana sebagai penulis anda akan ‘memasuki’ dunia kehidupan seseorang yang bakal anda rakamkan kisahnya. Saya bercakap ini tentang biografi. Ianya akan berbeza andai GHOST WRITER itu diupah untuk menulis bidang teknikal seperti yang saya lakukan untuk sebuah buku tentang tip-tip copywriting dan teknik menjual menerusi online.

LEBIH 2 tahun saya mengumpul bahan untuk buku ini.

LEBIH 2 tahun saya mengumpul bahan untuk buku ini.

Saya mengambil masa lebih 2 tahun untuk mengumpul bahan dan menyiapkan biografi LEGASI AHMAD NAWAB KHAN: SENIMAN NEGARA dan sepanjang tempoh itu, terus terang saya katakan, bukan mudah (terutama masa). Namun pengalaman saya di dalam dunia kewartawanan hiburan dan Datuk Ahmad Nawab pula seorang seniman, proses itu menjadi lebih mudah. Saya mendapat kerjasama yang baik daripadanya walaupun beliau sangat sibuk dengan urusan seninya.

Ketika menulis buku ini, saya tidak memikirkan sangat soal bayaran kerana menulis buku biografi adalah impian besar saya. Alhamdulillah termakbul dan lebih bangga apabila dapat bekerjasama dengan Seniman Negara.

Orang kata, jangan menulis kerana nama atau duit. Tapi bagi saya, anda perlu juga memikirkan tentang 2 elemen itu. Namun dalam hal GHOST WRITER, anda harus berkira tentang duit atau imbalan daripada usaha anda yang bukan sahaja menggunakan bakat, malahan saya percaya melibatkan juga wang, masa dan tenaga.  Selain duit, ada juga yang menjadi PENULIS UPAHAN ini untuk belajar menimba ilmu baru seperti mana yang dianjurkan oleh YUYA YUYA PUBLICATIONS.

Dalam memperolehi imbalan ini, anda sebagai penulis perlu mencari kata sepakat di antara kedua-dua belah pihak. Baik client mahupun penulis, kata sepakat ini bukan sahaja untuk membentuk hala tuju sesebuah naskah tetapi juga upah tersebut. Apakah berbaloi dengan apa yang anda sumbangkan? Tanya diri sendiri.

Sekarang ini saya difahamkan ramai yang memerlukan GHOST WRITER untuk online kerana kebesaran pasarannya semakin meluas. Terutama bagi mereka yang menjalankan bisnes online dan memerlukan mereka yang mahir di dalam mainan bahasa. Bahasa sekarang dipanggil copywriting.

Apapun perlu ingat dalam kepala, selepas buku atau hasil kerja yang anda siapkan itu, ia bukan lagi menjadi anda. Secara automatiknya akan menjadi milik client. Anda hanya dapat bayaran dan pengalaman! Jangan pula, hujung-hujungnya anda berangan nak tukar kontrak sebagai penulis utama yang ada nama di depan buku tersebut. Sebab itu saya katakan, dari awal-awal lagi anda perlu jelas dengan apa yang akan anda lakukan, apa yang dipertanggungjawabkan dan kedudukan anda sebagai GHOST WRITER.

creative-writing-tuition-01

**Karya oleh GHOST WRITER tak dikira sebagai plagiat yer!

1 Comments
  • Fauzan Ghazi

    Reply

    Terima kasih atas perkongsian Tuan Abie. Makin tak sabar nak jumpa ni. Hehe.

Leave a Comment