HUTANG 340 SENDI

173 Views 0 Comment

Sebuah lagi artikel yang menyentuh hati saya ditulis seorang sahabat menerusi aplikasi What’sApp. Tersentuh kerana terasa dekat dengan diri saya yang banyak hutang terutama kepada Allah. Qada’ solat wajib pun belum habis, apatah lagi hutang piutang yang lain.

Hanya tentang Dhuha yang selalunya diamalkan sesetengah mereka untuk memohon rezeki tetapi solat sunat ini lebih daripada itu. Bagi yang mengenali Dhuha, tentunya faham kenapa Allah wujudkan amalan berkenaan dan saya sendiri, lebih memahaminya untuk kepada BERSYUKUR.

InshaAllah, semoga artikel ini bermanfaat untuk kehidupan kita di sini dan di sana. terimakasih kepada penulis yang mencetuskan idea tentang Hutang Dhuha ini. Allah sahaja yang mampu membalasnya.

***************
Satu ilmu yang saya baru tahu yang saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan anda adalah ilmu tentang solat Dhuha.

Seorang ustaz dari Indonesia yang dikenali sebagai Ustaz Yusuf Mansur sangat memperjuangkan dan membudayakan kelebihan dan manfaat melakukan solat Dhuha dan sedekah di negaranya.

Di dalam bukunya bertajuk ‘Undang Saja Allah; Belajar Syukur, Belajar Yakin’ beliau memperkenalkan konsep Hutang 2 Rakaat Dhuha.

Di dalam buku tersebut beliau membahaskan konsep bahawa kita sebenarnya sudah terlalu banyak berhutang dengan Allah. Kita terlupa untuk ‘membayar’ bayaran kerana kita memakai mata, tangan, kaki, jantung serta organ kita yang lain yang dipinjamkan Allah kepada kita.

Oleh kerana Allah tahu bahawa kita tidak akan mampu membayar semua nikmat tersebut menggunakan wang, Dia dengan kasih sayangnya mensyaratkan bahawa solat sunat Dhuha 2 rakaat sebagai bayarannya.

Seperti yang tercatat di satu hadis yang diriwayatkan HR Imam Ahmad: “Pada setiap manusia terdapat tiga ratus empat puluh sendi. Setiap satu sendi harus disedekahi olehnya. Para sahabat bertanya, ‘siapakah yang sanggup melakukannya wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda, jika terdapat kotoran di masjid, tutuplah dengan tanah (buang dan bersihkan), dan jika ada sesuatu yang merintangi jalanan, jauhkanlah. Jika engkau tidak sanggup melakukannya maka solat Dhuha dua rakaat sebagai gantinya bagimu.”

Dan menurut riwayat yang lain: “Setiap pagi semua anggota badan masing-masing daripada kalian wajib disedekahi. Setiap kali tasbih adalah sedekah. Setiap kali tahmid adalah sedekah. Setiap kali tahlil adalah sedekah. Setiap kali takbir adalah sedekah. Amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah sedekah. Semuanya terpenuhi dengan dua rakaat solat dhuha.” ( HR. Muslim ).

Melalui hadis di atas, semakin jelas kepada kita bahawa kita sudah banyak berhutang kepada Allah selama ini. Ada antara kita yang berumur 20, 30 malah mungkin 50 tahun, akan tetapi baru tahu akan hal ini.

Kita baru tahu yang kita sedang berhutang sebenarnya. Bahkan ini baru hutang Dhuha, belum lagi dikira hutang solat wajib, hutang zakat, juga hutang yang lain-lainnya. Pasti sangat banyak kiraannya.
793aedf3bd9468ac49013c9e28c8f4a6
Jika setahun kita berhutang Dhuha 2 rakaat, jika dikira agak-agak berapa rakaat yang perlu kita bayar? Jika setiap tahun mengandungi 365 hari didarab dengan 2 rakaat Dhuha yang ditinggalkan, jumlah hutang Dhuha kita pada Allah setahun adalah 730 rakaat. Maka jika 10 tahun adalah 7300. Bayangkan, MashaAllah.

Bagaimana pula jika 20 atau 30 tahun? Sungguh banyak bukan? Persoalannya di sini, adakah betul kita harus membayar hutang-hutang tersebut? Jika ya, bagaimanakah cara mahu membuatnya?

Untuk menjawab persoalan tersebut, saya ingin berkongsi apa yang diceritakan Ustaz Yusuf Mansur di dalam buku tersebut tentang hal ini.

Seorang kakitangan kerajaan telah datang bertemunya selepas beliau menyampaikan satu ceramah dan pekerja tersebut menceritakan bahawa dia terkena satu musibah.

Wang tabungan yang sudah dikumpul selama setahun telah hilang kerana dicuri. Agak banyak jumlahnya. Dia sangat tertekan dengan hal tersebut dan pergi menemui Ustaz Yusuf Mansur. Ustaz dengan pantas bertanya, “Ada mengamalkan solat Dhuha tak selama ini?” kemudian pekerja itu menjawab bahawa dia tidak atau kalau lakukan pun agak jarang sekali. Kemudian secara langsung ustaz menjawab, “Patutlah Allah mengambil (melalui pencuri) duit tersebut, diambil Allah wang tersebut untuk ‘bayar’ hutang rupanya”. Begitu juga kalau berbisnes atau berniaga, setelah sekian lama berniaga, namun kita masih tak dapat membuat simpanan, itu mungkin kerana kita tidak melakukan Dhuha selama ini.

Berbalik kepada persoalan bagaimanakah kita ingin membayar hutang-hutang Dhuha itu, adakah kita perlu bersolat sunat Dhuha tanpa henti supaya hutang-hutang kita terbayar?

Adakah kita perlu bersedekah supaya hutang kita itu dilunasi? Anda rasa bagaimana? Mengikut cadangan Ustaz Yusuf Mansur di dalam buku tersebut, beliau berkongsi sedikit tip dan cara bagaimana kita boleh membayar hutang-hutang Dhuha kita.

Seseorang bernama Saifullah telah menghantar satu SMS kepada ustaz, antara lain berbunyi:

“Ustaz, saya baru terbaca tentang hutang Dhuha di program Dhuha Coffee ustaz. Saya termasuk orang yang mempunyai hutang Dhuha dengan Allah. Saya kini berumur 34 tahun 2 bulan. Ertinya jika saya akil baligh umur 10 tahun, saya sudah berhutang 24 tahun. Dalam sekitar 8,760 hari itu saya berhutang 17,520 rakaat. Mungkin ini sebabnya saya merasakan hidup saya kurang diberkati. Sekarang bagaimanakah saya mahu melunasinya? Wassalam.”

Antara tip ustaz yang sangat menarik dan relevan untuk diaplikasikan adalah melalui menyeru orang lain juga untuk berdhuha. Ya, ceritakan juga akan konsep hutang Dhuha ini kepada sebanyak mungkin orang yang anda kenal. Dengan cara ini sahajalah hutang-hutang anda mampu dilunasi kerana setiap kali orang lain berbuat kebaikan yang mereka dapat inspirasi melalui anda, secara langsung anda akan mendapat pahala. Kebaikan dan amalan yang mereka lakukan secara langsung akan menjadi saham pahala anda juga.

Namun pasti akan ada yang bertanya, “Tetapi bukan semua pandai untuk menceritakan perkara-perkara sebegini kepada orang lain”. Pasti akan terdetik di fikiran, sesetengah antara kalian.

Jika anda tidak mampu menceritakan tentang konsep hutang Dhuha, apa kata anda mulai dengan mengajak orang berdhuha mengikut keadaan dan tahap yang anda selesa.

Jika anda ada blog atau Facebook, WhatsApp, Telegram, Wechat dan sebagainya, cuba menggalakkan orang lain supaya berdhuha.

Jika anda sebagai ketua jabatan, sediakan masa 10 minit sebelum memulakan kerja dan mengajak pekerja bawahan anda melakukan solat sunat Dhuha.

Jika anda seorang pengacara radio atau televisyen, selitkan manfaat dan kelebihan Dhuha di dalam percakapan anda. Jika anda seorang pemimpin, nasihatilah dan berikan motivasi tentang kelebihan Dhuha kepada rakyat anda. Jika anda guru atau pensyarah, sediakan waktu untuk mengajak pelajar–pelajar anda berdhuha pada setiap pagi. Namun, jangan hanya menyuruh, ceritakan juga kepada mereka kelebihan melakukan solat Dhuha. Supaya mereka lagi bermotivasi.

Setiap antara kita mampu membayar hutang tersebut jika kita berterusan menyeru dan memotivasikan orang di sekeliling anda tentang kelebihan solat sunat Dhuha.

Oleh kerana penulis juga merasakan bahawa diri ini banyak hutang Dhuha, maka penulis rasa penting untuk berkongsi akan konsep ini.

Moga-moga jika antara kalian mengamalkan juga menyebarkan kepada orang ramai, harapnya akan terlunasi juga hutang Dhuha.

Semoga amalan kita diterima sebagai amalan soleh.

****************

0 Comments

Leave a Comment