KETIKA AKU MEMERLUKAN MU

414 Views 1 Comment

Apa yang cuba saya sampaikan di sini, bunyinya seakan ‘sourgrape’ tetapi anda nilailah sendiri. Saya sekadar ingin menyatakan apa yang saya inginkan, itupun setelah mengambil masa yang terlalu lama untuk sebuah penulisan artikel kerana beberapa kebimbangan. Namun kebimbangan itu saya mulai tidak pedulikan, sudah dinyahtoksikkan daripada pemikiran. Kerana beginilah hakikat kehidupan kita!

IMG_20161124_181820

Rudy dan Syazwan rakan media yang masak industri hiburan.

Kisah bermula ketika saya mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia kewartawanan terutama hiburan dua tahun lalu. Maklumlah di mata orang bukan media, melihat kami yang berada di dalam dunia hiburan daripada kacamata berbeza. Mungkin nampak banyak yang seronok dek bertempiasan glamor artis. Sepanjang 22 tahun menyandang karakter orang media, tentunya ramai yang turut ingin berkawan dan sebahagian daripadanya menjadi rakan yang dinamakan sahabat.

MEDIA
Ketika menyatakan hasrat untuk berhijrah ke lapangan lain, beberapa teman rapat dalam kalangan media bertanyakan kepada saya akan kemungkinan-kemungkinan yang bakal saya lalui selepas meletakkan lencana wartawan itu. Mereka lebih bimbang andai saya tidak lagi dihargai atau dilupakan selepas tiada status tersebut. Sebaliknya kebimbangan itu tidak saya rasai saat membuat keputusan tersebut kerana ini bukan pertama kali saya mendengar kisah wartawan yang dipinggirkan oleh manusia yang pernah menghimpit mereka ketika bersandangkan jawatan media.

20161123_160602

Zieman, orang lama dalam kewartawanan hiburan.

20170614_093950

Dean (Utusan Malaysia) dan Abib (Jamu Mak Dara).

Hingga hari ini selepas dua tahun saya meletakkan jawatan sebagai editor di Harian Metro, belum sedetik saya menyesal terhadap tindakan yang diambil andai diukur berdasarkan kebimbangan rakan-rakan tadi. Alhamdulillah, Tuhan masih panjangkan umur dan melimpahkan rezekiNya tanpa henti biarpun bukan tetap seperti setiap hujung bulan makan gaji. Pastinya saya gembira dan bahagia bergelar pesara awal sebagaimana yang disandang hari ini.

20170523_144456

Bersama Tuan Iezil (baju hitam) dalam kelas blog.

Sebagai pengamal media, seringnya menjadi sanjungan pihak luar terutama yang memerlukan kita menulis tentang mereka, memberi publisiti dan mendekatkan mereka dengan masyarakat. Hakikatnya begitu dan di sepanjang perjalanan itu, persahabatan mula terjalin dengan baik. Berkawan bukan setakat di sidang media, sesi tembual atau fotografi, malah berlarutan di luar acara yang bukan berkaitan kerjaya seperti makan-makan, minum-minum dan ada juga ‘shopping-shopping’. Tidak cukup di kafe atau hotel, kerapatan sahabat bertambah erat apabila rakan-rakan artis serta PR saling berkunjung ke rumah masing-masing. Diajak ke rumah untuk menjamu selera, tidak kurang juga keikhlasan orang media yang menjemput ke rumah mereka. Indahnya persahabatan itu. Sikap berterimakasih mereka terhadap pengamal media bukan sedikit yang tidak perlu saya luahkan di sini. Baik sungguh mereka untuk membalas jasa pengamal media termasuk saya, ketika itu.

ARTIS
Suasana cerita itu hanya untuk karakter mereka sebagai wartawan dalam telefilem ‘ketika aku memerlukanmu’ sahaja. Semuanya berubah, kalau tidak 360 darjah, mungkin 180 darjah barangkali. Daripada bekas-bekas pengamal media yang sempat saya temui secara tak sengaja, ramai terkejut dan kecewa dengan pengamal industri seni yang terlalu jelas dan nyata tidak mempedulikan mereka lagi (bukan nak diagung-agungkan pun) Alhamdulillah, setakat ini saya belum ‘dipulaukan’ 360 darjah tetapi mula terasa sedikit demi sedikit.

20161123_161054

Fizo Omar lebih faham tentang logistik.

Artis dan orang industri yang rapat (saya kategori rapat kerana saya antara tempat mereka mengadu domba tatkala dilanda musibah dan terluka perasaan, orang putih kata shoulder to cry on dan bahu saya pernah dipinjamkan untuk itu) tinggal beberapa sahaja yang masih menyimpan nombor telefon saya. Ingin saya jelaskan sekali lagi, ini bukan untuk ‘anggur masam’ tetapi sekadar memberitahu hakikat sebenar industri yang saya lalui. Saya percaya, industri lain juga mempunyai jalan cerita yang lebih kurang sama.

20161109_154535

Datuk Aznil Nawawi – banyak cerita tersimpan.

Alhamdulillah, saya tidak pula terasa hati tetapi cuma sedikit hairan dengan sikap sesetengah daripada mereka yang saya anggap rapat juga turut berada di dalam kategori hipokrit dan palsu. Sedih saya melihat orang begini menjalani kehidupan dan dalam masa yang sama, saya sangat bersyukur apabila saya mula dijauhkan satu demi satu daripada kepalsuan seorang manusia. Bahagia saya berganda tanpa mereka yang selama ini saya fikirkan begitu ikhlas berkawan. Sayangnya mereka mampu meneruskan hidup di dalam oksigen kepalsuan.

PR
Tidak juga artis, sesetengah PR (public relations) antara yang ketara hipokrasinya. Mendekati pengamal media hanya kerana mereka orang media. Itu sahaja. Ketika masih di dalam naungan media dan menjadi antara ‘orang yang ingin dijumpai ramai’, PRlah yang menjadi perantara dan ketahuilah tidak semua cerdik di dalam kerja mereka sehingga buta tentang komunikasi manusia. Saya temui ramai PR yang palsu, yang menganggap kerja mereka sebagai makan gaji dan bukannya karier. Jadi persembahannya tidak sampai di hati.

 

FB_IMG_1478102921441

Antara rakan-rakan seminar – Nazs, Ijoy dan Reza.

Nasib saya baik kerana ramai lagi rakan PR yang masih berkomunikasi dengan saya terutama Facebook dan Instagram. Memadailah kerana saya faham kesibukan mereka. Bagaimanapun kening saya berkerut di dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini terhadap seorang PR yang cukup tua di dalam kerja-kerja PR yang juga saya anggap kawan. Tetapi itu kesilapan besar saya, dia cuma kawan ketika saya seorang editor. Ceritanya? Tak usah untuk saya rungkaikan di sini, buat malu sahaja. Cukup saya nyatakan hipokrasi manusia.

Dalam pada itu, saya sebenarnya berterimakasih kepada mereka termasuk para pengamal hipokrasi kerana telah menjadikan saya lebih manusia. Saya belajar tentang kehidupan dan manusia di mana Allah bukan hadirkan mereka di dalam hidup kita untuk suka-suka tetapi ada peranannya. Sesuatu yang berlaku semuanya atas keizinanNya dan Tuhan menggerakkan hati mereka untuk kami bertemu di padang media dan seni. Kita sebagai makhlukNya, perlu melihat dan menilai apa yang terbaik untuk kita jadikan sandaran sebelum ke negeri abadi.

Jumpa lagi di dalam artikel seterusnya! Terimakasih kerana membaca.

**Gambar-gambar adalah koleksi peribadi saya bersama rakan (antara) yang kekal bersahabat.

1 Comments
  • Aznil Nawawi

    Reply

    Penulisan yg sgt mulus. Tak sedar membaca rupanya dah sampai ke penghujung. Terima Kasih sebab jadi sahabat saya juga

Leave a Comment