Nurita si penjual kolagen

279 Views 0 Comment

Nurita kembang hidung mempunyai rakan-rakan yang menyokong. Ketika menyuarakan hasrat untuk memilik produk jenama sendiri, tidak sedikit teman yang bersetuju, bertepuk tangan dengan usahanya itu. Ini membuatkannya lebih bersemangat untuk mempercepatkan jenamanya, Nurita Care & Beauty masuk pasaran.

Sebulan selepas berurusan dengan pihak kilang atau OEM, dua produk pertamanya berjaya dikeluarkan. Serbuk kolagen untuk memutihkan badan dan lipstik yang juga ada elemen kolagen. Nurita menyerahkan urusan pembikinan produk itu secara bulat-bulat kepada pengilang selepas diyakinkan oleh pengilang akan keberkesanannya. Serbuk memutih yang mengandungi vitamin C serta glutathione adalah ejen terbaik untuk proses pemutihan dari dalam badan dan Nurita yang sememangnya bengap dalam soal elemen-elemen itu, akur sahaja. Yang penting, produk memutih badan ini sangat hangat di pasaran.

Bermulalah statusnya sebagai usahawan atau tauke produk kecantikan. Secara sambilan kerana Nurita masih lagi belum berani 100% untuk meninggalkan gaji bulan di sebuah kilang elektronik di Petaling Jaya. Nurita bukan operator pengeluaran, perlu dijelaskan di sini sebab kalau disebut kilang, itulah jawatan yang terlintas di kepala ramai manusia Malaysia. Apapun Nurita yakin sangat produknya laris sebagaimana berbelas ribu lagi jenama kolagen yang berada di pasaran hari ini.

Perempuan bujang berusia 32 tahun ini sudah lama mengimpikan gelaran usahawan. Dulu dia sendiri tidak pernah terlintas untuk mempunyai produk dengan jenama sendiri. Dulu dia hanya menjadi ejen menjual barangan Avon, sesekali bertukar kepada jenama lain tetapi kembali kepada jenama New York itu kerana lebih mudah untuk memasarkan kepada operator-operator pengeluaran di kilangnya bekerja. Malah dia pernah menjual produk langsing kerana pasaran ketika itu sangat tular dengan kehendak manusia ingin kurus. Bagaimanapun dia gagal apabila sering menjadi bahan sindiran. Keadaan badannya yang sedikit gempal, tidak mampu meyakinkan prospek terhadap produk pelangsingan badan. Justeru dia kembali menjual alat kosmetik kerana dia sendiri pengguna tegar jenama tersebut.

Dia berhabisan mengeluarkan wang simpanannya untuk Nurita Care & Beauty. RM25,000 secara bundarnya dilaburkan untuk kilang produk tersebut. Dia pejamkan mata sahaja demi merealisasikan impian bergelar usahawan. Ya hari ini Nurita sudah mampu mendabik dada menjadi peniagawati dan menanam cita-cita untuk setanding dengan Datuk Seri Vida. Senyumnya lebar ketika mengelamun saat-saat wajahnya dirakam siar secara langsung oleh TV nasional, sebagaimana idolanya itu menaja program Gegar Vaganza.

“Dah banyak sale buat?” tanya Dumila yang membuatkan lamunan indah Nurita terputus secara tiba-tiba.

“Belum lagi. Aku hanya post kat status FB jer. Ada yang bertanya tapi belum ada yang membeli,” perlahan Nurita membalas.

“Aikkk, dah tiga minggu kolagen kau keluar. Takkan belum ada orang beli?” bunyi Dumila itu seperti marah tetapi Dumila bukan marah sebenarnya kerana cara semula jadi Dumila memang agak kasar biarpun berkerudung labuh paras pinggang. Tapi Nurita faham benar sifat temannya itu.

Jiwa Nurita tersentak bagaikan panahan petir daripada Dumila. Benar apa yang dikatakan Dumila. Teringat Nurita akan puluhan kotak yang bertimbun di ruang tamu rumahnya. Serbuk kolagen yang dikemaskan dalam balang plastik beserta shaker akan penggoncang dan lipstik kolagen itu baru menghuni rumahnya. Tidak bergerak kecuali satu kotak serbuk kolagen yang dibuka Nurita untuk dicubanya. Lipstik yang tampil dengan lima warna juga dibuka sekotak. Untuk dicuba sendiri, untuk menghias diri sendiri.

Memikirkan kotak-kotak dan RM25,000 yang dilabur itu, membuatkan perut Nurita memulas.

“Apa yang harus aku buat?” seorang diri soalan itu bermain di dalam kepalanya.

Apabila ditanya kepada rakan-rakan yang begitu menyokongnya selama ini, Nurita kecewa. Maklum balas yang diterima daripada mereka seolah-olah gambaran sokongan membawa rebah. Ya, di dalam kepala Nurita, sekurang-kurangnya produknya akan dibeli oleh manusia yang bernama sahabat tadi.

“Tahniah Nurita, kau dah jadi tauke. Tak lama lagi glamorlah, masuk TV masuk suratkhabar. Takkan tak boleh bagi aku satu free kolagen tu,” manis ayat June yang membuatkan Nurita serba salah untuk memberi secara percuma.

Bukan dia mengharapkan duit June tetapi sebenarnya cara June itu sangat tidak menyokong usahanya berniaga. Bukan sedikit wang yang dikeluarkan hasil simpanan gaji bertahun sebagai pegawai tadbir kilang itu. Namun teman seperti June seolah-olah tidak memikirkan perasaannya. Kalau June seorang, Nurita masih boleh mengalah tetapi masalahnya bukan June seorang sahaja yang meminta secara percuma sebagai tanda sokongan kepadanya. Sokongan tetapi meminta percuma, Nurita pening!

Apabila permintaan June dan beberapa teman tidak dilayan, Nurita menerima akibatnya. June dan yang seangkatan dengannya mula menjauhkan diri. Status Facebook Nurita juga tiada lagi ‘like’ malah jauh sekali untuk komen. Nurita mula terasa. Kalau selama ini status Facebooknya menerima kesukaan lebih daripada 100, kini setiap kali bercerita tentang serbuk kolagen dan gincu, mereka yang suka tinggal satu pertiga.

Nurita buntu! Kotak-kotak kolagen masih bersusun menghiasi ruang tamu rumahnya. Kepala Nurita serabut memikirkan RM25,000 seolah-olah menuju lebur. Ada kekesalan di dada bersama titisan air mata yang seakan menyokong kebuntuan itu.

Perlahan-lahan Nurita merapati kotak-kotak yang mengganti dekorasi rumahnya itu. Dipegang dan diraba kertas keras berwarna coklat yang bercetak nama Nurita Care & Beauty di tengahnya. Nurita merenung lagi dengan air mata.

“Kau makanlah kolagen tu sorang-sorang!” tiba-tiba suara entah dari mana mencadangkan.

Ngeri!

0 Comments

Leave a Comment