NYAH BUKAN BAKA

103 Views 0 Comment

“Kau ingin kembali ke dalam hidup Zul? Kau pasti?” tanya Salina sambil meniru nada dialog Ziana Zain dalam Maria Mariana.

Sebenarnya Salina terkejut apabila Sabariah menceritakan tentang bekas suami pertamanya itu. Dialog gaya Ziana itu sengaja dibuat-buat agar bualan mereka malam itu tidak menjurus topik yang berat-berat. Malam mula melarut. Sabariah belum mampu memejamkan mata. Salina pula yang terbaring di sebelahnya, menguap sesekali.

“Tapi aku malu. Aku yang membuangnya dulu,” perlahan suara Sabariah tapi masih jelas di telinga Salina.

“Gedik lah kau ni Sab. Malu sebab kau kata dia lembut? Lembut-lembut dia pun, beranak juga sorang manusia kan,” pantas saja mulut Salina yang tadinya mengantuk.

“Sudah-sudahlah, aku tahu salah aku,” Sabariah macam bengang.

“Ehhh maaf, aku pula yang terbawa emosi. Hashtag ‘kau yang sedih aku yang emosi.’ Hahaha,” Salina cuba bergurau untuk mendamai suasana dan Sabariah turut tersenyum.

“Sekurang-kurangnya aku dapat tengok anak aku, aku nak jaga dia semula. Aku bersalah sebab tinggalkan Farid pada Zul segalanya,” irama sendu Sabariah kembali semula.

“Baguslah kalau kau sedar tapi aku rasa, kau patut jumpa dia. Aku sendiri sudah lama tak jumpa Zul walaupun duduk di KL,” kata Salina.

Perbualan mereka terhenti. Diam. Sabariah memikirkan sesuatu. Salina kembali menguap, kali ini lebih luas bukaan mulutnya. Diam mereka bagaimanapun terganggu apabila ruang kamar mereka diterjah suara muzik up-beat lagu DSV. Makin kuat dan makin kuat.

“Sudin! Sudin! Kau tak tidur lagi? Esok tak sekolah ke?” Salina menjerit apabila tahu bunyi-bunyian tadi datangnya dari bilik sebelah. Bagaimanapun Sudin tak menjawab. Bising lagu itu akhirnya mati. Ruang mereka kembali senyap.

“Biarlah kalau dia nak dengar lagu tu. Budak-budak, tengah seronok tu,” pujuk Sabariah.

“Esok Sudin sekolah pagi. Tapi yang aku pastinya, dia suka tengok video pondan yang kononnya menyanyikan lagu Datuk Vida. Orang kata apa? Parodi? Miming? Aku pun hairanlah, dah makin ramai budak-budak lelaki berani drag terang-terangan. Mereka nak apa sebenarnya?” kata Salina yang kini duduk bersila di atas katil besi bersaiz permaisuri itu.

“Parodi tu apa?” kabur otak Sabariah tentang perkataan aneh baginya itu.

“Alah, orang sekarang kan suka tiru gaya orang lain, pastu masukkan kat Facebook atau instagram. Orang nak popular tapi aku tak gemarlah. Banyaknya lelaki lah, pakai baju kita. Tuhan laknat!” makin bersemangat Salina bercerita hingga hilang mengantuknya.

“Macam drag show? Paper dolls?” Sabariah tunjukkan minat.

“Tahu pun kau… Ehh lupa, kita pernah tengok kan show pondan dulu,” kata Salina sambil gelak.

“Aku taklah kolot sangat. Cuma pasal perkataan parodi tadi, aku tak tahu. Kau pun tahu kan macam mana Darma control aku, sampai telefon pun diperiksa setiap masa,” kata Sabariah.

“Tapi budak yang parodi lagu Vida tu memang popular gila. Siang tadi, masa aku kat pejabat, ramai yang tengok video dia. Bukan nak dengar sangat lagu tu tapi nak tengok perangai pondan meratah ayam mee. Macam mak esah tengah mandrem. Tak senonoh!” kata Salina.

“Tadi kata tak gemar, sekarang macam tahu details tu, maknanya kau pun dah tengoklah,” sindir Sabariah sambil tergelak kecil.

“Memanglah aku tengok sebab ramai yang duk pakat tengok, aku pun nak tahu juga apa yang mereka tengok. Lepas tengok tu lah yang aku geli geleman. Apa nak jadi dengan masyarakat kita ni? Budak-budak baya Sudin jer pula tu… Cukup-cukuplah menteri kita macam-macam fiil pelik,” kata Salina.

“Wahh… serius kau bila bercakap pasal perkembangan masyarakat ye,” sampuk Sabariah.

“Walaupun aku ni kerani cabuk tapi aku tetap ada anak. Si Sudin tu, dahlah membesar tak ada ayah,” kata-kata Salina terhenti.

“Kau takut ehhh dia jadi lembut sebab membesar dengan ibu saja? Teori itu salah Sal, ramai juga anak-anak yang lengkap ibu bapa tetapi tetap berkumpul kat Lorong Haji Taib. Nak salah siapa?” sel-sel otak Sabariah segar bersambung bila tiba bab permasalahan manusia kategori ketiga. Pengalamannya bersama Zulkifli membuka mindanya terhadap manusia yang dicop ‘nyah’ dalam masyarakat itu. Perbualan mereka semakin serius.

“Tak adalah macam tu… tapi ramai juga kata begitu kan?” Salina menunjukkan wajah bimbangnya.

“Aku bukanlah pandai sangat tetapi abang Zul dulu banyak bercerita dengan aku tentang kawan-kawan dia. Aku kenal jugalah beberapa orang maknyah ketika abang Zul tolong-tolong siapkan baju mereka untuk show. Tapi abang Zul tak drag yer, jangan salah hitung,” kata Sabariah sambil gelak.

“Aku tahu, kau dah beritahu dulu sebelum kahwin dengan Zul,” senyum simpul terukir di bibir Salina. Sinis.

“Dari segi hukum agama, salah tetap salah. Malah bagi moral masyarakat pun, sangat mengganggu,” sambung Salina.

Sabariah mengakui kebenaran itu tentang wujudnya sesetengah manusia yang melampaui batas, namun dia tidak mahu memanjangkan cerita, bimbang mengaibkan ramai pihak. Bahkan dia sendiri turut terasa pengalaman itu ketika bergelar isteri kepada Zulkifli. Dia yakin yang Zulkifli tidak seperti rakannya yang menyerupai wanita, tidak memakai segala palsu – rambut, bulu mata, solekan. Bekas suaminya itu hanya berminat terhadap persembahan dan hal-hal berkaitan dengan rakan-rakan lembutnya sahaja. Sabariah yakin!

Sabariah terus mengelamun sambil melayan dengkuran kecil Salina yang sudah selamat belayar ke alam mimpi. Otaknya merancang untuk mencari Zulkifli sekali lagi di McDonalds yang sama, waktu yang sama. Dia pasti lelaki itu akan ke situ lagi.

**BERSAMBUNG

0 Comments

Leave a Comment