SENDAWA DEK HINAAN

136 Views 0 Comment

Sudah seminggu Farid berkecil hati dengan ayahnya. Tak banyak yang dibualkan ketika mereka bersua muka di pagi hari sebelum menuju ke destinasi urusan masing-masing. Zulkifli faham sangat tingkah anaknya, bagaikan memberontak. Namun sebagai ayah, dia harus tegas dan tak termakan dek provokasi yang ditampilkan Farid. Malah ketika di meja makan, mesra Farid terasa tipisnya dan Zulkifli membiarkan suasana itu seketika serta berdoa agar hubungan mereka anak beranak kembali normal.

Farid mengharapkan sokongan orang yang paling dekat dengannya, tiada lain selain ayahnya sendiri. Pada perkiraan Farid, ayahnya bukan sahaja tidak pernah memahami apa yang dia perjuangkan di laman sosial itu malah meletakkan kayu penghadang. Sangkanya selama ini ayahnya tidak akan bersuara tentang parodi itu tetapi hari ini, si ayah dianggap sebagai pembunuh semangat utama.

Dalam berkira-kira tentang ayahnya, jari telunjuk Farid terus rancak skrol layar instagram. Matanya berhenti untuk membaca komen-komen yang baru bertambah di laman akaunnya terhadap parodi dia menjadi bomoh yang sedang meratah ayam mee. Banyak dan itu yang mengembalikan senyuman yang sebelum ini hilang saat memikirkan tentang si ayah. Tidak kurang juga yang membandingkannya dengan instafamous lain. Bagaimanapun komen-komen itu dibiarkan tanpa balasan. Farid tersenyum puas!

“Telefon ni pun aku beli dengan hasil parodi. Bil bulanan pun sebab aku drag dalam IG, bukan drag kat lorong,” bentak hatinya sendiri.

Teringat dia akan pertelingkahan dengan ayahnya tempoh hari. Dia cuma mahu ayahnya memahami, itu sahaja. Bukannya lama, seketika sahaja. Dia tidak mahu terlepas peluang untuk mengumpul duit daripada reviu produk yang agak lumayan diterima saban minggu.

“SPM dah dekat, tapi Farid masih leka dengan benda-benda ni semua. Nak kejar populariti pun, tunggulah lepas SPM,” kata ayahnya.

“Ramai jer yang 9A tapi bukan berjaya dalam hidup pun,” kasar bunyi jawapan tetapi Farid lega menyatakannya.

“Habis tu dengan drag ni menjadi orang? Suka hidup dalam hinaan manusian lain?” tegas seorang ayah tetapi dalam nada yang masih terkawal santun.

Kata-kata itu terus menghantuinya. Selama ini ayahnya tidak pernah menghalang. Rasa bersalah tetap wujud di dalam dirinya tetapi naluri anak muda sepertinya yang mahukan perhatian, mengatasi segala rasa bersalah itu kepada ayahnya.

Jari dan matanya bagaimanapun masih kekal pada paparan skrin kaca android bersaiz 5.5 inci itu. Buku-buku yang dibawanya untuk mengulangkaji dibiarkan atas meja. Amir yang berjanji untuk bertemu di perpustakaan awam itu belum tiba dan sementara itu Farid gunakan masa untuk meneliti aplikasi laman sosialnya. Beratus juga pengikutnya yang tag namanya tetapi Farid tidak ambil pusing selama ini sehinggalah ada satu nama yang menarik perhatiannya.

Lalu dibuka akaun itu tetapi Farid masih tidak mengenali siapa empunya. Hanya ada dua orang pengikut dengan dua video, salah satu daripadanya cuba meniru parodi yang dibuatnya untuk aksi makan ayam mee. Sebuah lagi video, juga meniru gayanya ketika menyampaikan lagu Hello oleh Adele. Dia sekadar tersenyum sambil melayan hingga habis kedua-dua video itu. Bangga berbaur ketika itu kerana ada peminatnya yang cuba membuat parodi daripada kreativitinya. Parodi atas parodi.

“Cantik juga pondan ni…walaupun,” bisik hatinya.

Selepas 20 minit, Amir tiba sambil meminta maaf atas kelewatannya. Farid tidak pula melenting atau kecewa atas kelambatan rakan sekelasnya itu kerana dia sendiri sering lewat sebelum ini. Bagaimanapun Amir membawa cerita lain yang membuatkan jantungnya berdegup kencang.

“Kau dah tengok Youtube? Video orang tiru parodi kau?” Amir bertanya penuh semangat.

“Baru jer aku tengok kat IG. Kelakar kan…” jawab Farid tersenyum.

“Kelakar kata kau? Kau gila ker?” Amir terkejut dengan reaksi Farid.

“Shhhhhh… library kut, kan kena halau. Ehh hello, kurang-kurangnya aku ada peminat yang mahu jadi macam aku,” senyum Farid makin melebar sambil menjungkit bahu kanannya.

“Cuba kau perhati betul-betul, kau tak kenal siapa dalam video tu?” kata Amir.

Masing-masing cuba melayari Youtube mencari parodi tersebut. Pada gajet di tangan, Farid meneliti apa yang dimaksudkan oleh Amir.

“Kau kenal ke pondan tua ni?” giliran Farid bertanya.

“Cuba tengok betul-betul. Zoom… zoom…,” Amir mengarah.

Mata Farid kembali tertancap di kaca LED itu dan kali ini darjah keseriusannya meningkat. Lama juga sehingga hampir minit ke 2, barulah Farid ternganga dan terus menutup layar itu.

“Tak mungkin, tak mungkin,” katanya perlahan.

“Mulanya aku pun tak kenal tetapi selepas mak aku beritahu dan sahkan, baru aku percaya,” kata Amir.

Farid tergamam. Diam dan perlahan-lahan air jernih berkumpul di penjuru mata. Amir hilang kata-kata, cuma mampu memerhati apa yang sedang dirasai, ditelani dan dihayati rakannya itu. Semakin laju pula air mata Farid melintasi pipinya.

“Ayahhhhhhhhhhhhh!” Farid meraung sambil menangis.

Raungan Farid memecah kesunyian perpustakaan awam itu. Semua yang berada (tak ramai pun pengunjung, boleh dibilang dengan jari) di ruang membaca terkejut beruk dan menoleh ke arahnya. Farid terus menangis dan menangis tanpa peduli di mana lokasi dia dan Amir berada ketika itu. Amir cuba memujuk tetapi Farid tetap dengan irama sedihnya. Amir mendapat idea, pantas dia klik pada butang rekod untuk merakam apa yang terjadi. Farid sudah tidak peduli apa yang Amir lakukan. Kepalanya hanya memikirkan ayahnya.

Seketika kemudian tiga pengawal keselamatan bersama dua pegawai perpustakaan menghampiri dan memujuk supaya Farid keluar dari tempat itu agar tidak mengganggu pengguna-pengguna lain. Amir terus merakam. Farid dibawa keluar dan terpaksa dipapah oleh pengawal keselamatan kerana badannya tiba-tiba longlai. Tiba di pintu untuk keluar, sekali lagi Farid menjerit.

“Ayahhhhhhhh!”

-TAMAT-

0 Comments

Leave a Comment