SESAL PUN PERUT TETAP MEMBOYOT

2491 Views 0 Comment

Air mata laju tanpa dipaksa. Sepanjang temubual, K berulang kali menyatakan sesal. Sesal yang menyelimuti diri ketika ini membuatnya begitu bersalah kepada orang tuanya. Berkali-kali dia menyatakan rasa berdosanya terhadap ayah dan ibu. Namun dia sedar nasi sudah menjadi bubur dan menerima takdir itu dengan hati yang berat.

Pertemuan pertama kali dengan lelaki yang dianggapnya kekasih telah mengubah 180 darjah jalan cerita hidupnya. Dia berkenalan dengan Z menerusi WeChat setahun yang lalu dan hanya ‘bertemu’ di laman aplikasi sosial itu sahaja. Bagaimanapun pelawaan Z yang juga seorang pelajar di sebuah kolej di utara tanah air untuk bercuti di Langkawi, menjadi langkah hitam di dalam hidup K.

Ayah begitu berat untuk membenarkan K ke Langkawi biarpun ditemani beberapa teman wanita lain. Ibu pula mengalah kerana kasihankan anak daranya yang beriya-iya mahu berhibur. K jarang bersosial kerana dunianya hanyalah rumah dan tempat kerjanya di sebuah restoran. K menetap bersama kakaknya yang sudah bersuami kerana rumah kakaknya lebih dekat dari tempat kerja berbanding rumah ibu bapanya walaupun berada di dalam mukim yang sama.

K (bertudung hitam) sambil ditemani pengasas Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Puan Haliza Abdul Halim.

K (bertudung hitam) sambil ditemani pengasas Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Puan Haliza Abdul Halim.

“Saya amat bersalah kepada ayah dan mak. Saya telah mengecewakan mereka. Memalukan mereka,” ulang K yang entah ke berapa kali.

Di Langkawi yang mengambil masa 3 hari 2 malam percutian bersama 10 orang teman serta Z telah membawa K ke alam baru hidupnya. Menurut K, berlaku kekeliruan tentang bilik yang mereka tempah. Sepatutnya perempuan dan lelaki bilik berasingan namun teman-teman lain entah ke mana ketika tiba di pulau Mahsuri itu. Lalu K terpaksa berkongsi chalet dengan Z.

Kalau berdua, pastinya akan ada ‘pihak ketiga’. K akui dia tewas dengan nafsu. Dari satu jadi dua, dua jadi tiga hinggalah dua malam di situ, K dan Z bersatu lebih daripada 6 kali. Disember 2016 mencatat sejarah hitamnya.

“Saya mengandung dan hanya Z yang tahu. Z suruh saya gugurkan kandungan tetapi saya tidak mahu. Cukuplah dosa kami lakukan, saya tidak mahu menambah dosa membunuh bayi ini pula. Kebetulan pula, usia janin kami tidak sesuai untuk dibuang.

“Kami berbincang untuk memberitahu keluarga masing-masing tetapi Z enggan. Z orang Selangor, masih belajar di kolej tempat saya tinggal. Dia takut dimarahi keluarganya yang inginkan dia tamat pengajian dengan cemerlang.

“Bagaimanapun perut saya semakin membesar, mahu tak mahu dia terpaksa bertanggungjawab. Selepas berbincang semula, katanya dia akan beritahu keluarganya,” kata K yang cuba untuk tersenyum sambil menyeka air mata dengan jari putihnya.

Menurut K, kakak tidak perasan mulanya kerana badannya yang kurus. Dia cuba menyorok tetapi lama kelamaan kakak dan abang iparnya mula mengesyaki sesuatu terhadap perubahan badannya. Malah kakaknya turut bertanyakan perihal ‘datang bulan.’ Akhirnya memaksa K berterus terang tetapi berharap kakaknya tidak memberitahu ayah dan ibu.

“Ketika pulang berhari raya, kakak senyap-senyap menceritakan kepada ibu. Ibu menangis dan itu yang membuatkan saya semakin bersalah. Saya tak mahu dia menangis kerana saya tetapi apakan daya, semuanya salah saya. Cuma saya merayu kepada ibu supaya jangan sampai ayah tahu. Saya kenal sangat ayah, lebih baik dia tidak tahu. Saya bimbang lain pula jadinya terutama kepada Z.

“Selepas ibu bertemu Z, Z setuju untuk selesaikan perkara ini dengan segera. Kami ke Selangor untuk bertemu keluarga Z tidak lama selepas itu tetapi rupa-rupanya Z tidak langsung memberitahu keadaan kami kepada ibu bapanya. Saya kecewa sangat tetapi saya lebih kecewa apabila ibu yang datang jauh-jauh terpaksa berdepan dengan situasi itu.

“Ayah masih tidak tahu hal ini dan sehingga hari ini (ketika temubual), rahsia ini hanya ibu dan kakak yang tahu. Malah saya simpan juga daripada pengetahuan abang saya sebab bimbang andai dia tahu, mungkin perkara bukan-bukan akan terjadi.

“Kepada ayah, ibu memberitahu yang kami ke Kuala Lumpur untuk melawat kakak sulung saya yang menetap di sini bersama suaminya. Kebetulan kakak sulung saya juga sedang mengandung,” kata anak keenam daripada sembilan beradik ini.

Ustaz Mohd Firdaus antara yang menjadi kaunselor di Baitul Fiqh.

Ustaz Mohd Firdaus antara yang menjadi kaunselor di Baitul Fiqh.

Kegagalan Z membantu hal ini, menyebabkan kakak sulungnya mencari alternatif lain bagi ‘menyelamatkan’ keadaan. Lalu K dihantar ke Rumah Perlindungan Baitul Fiqh buat sementara sehingga bayinya lahir.

“Ayah hanya tahu yang saya kononnya berada di rumah kakak, menjaga kakak sehingga dia bersalin. Ibu dan kakak seorang lagi sudah pulang ke utara.

“Tapi saya sangat sedih sebab berjauhan dengan mereka. Bagaimanapun saya sangat bersyukur dapat berlindung di sini, dijaga dengan baik dan diberi didikan agama. Kalau dulu solat saya banyak tertangguh tetapi di sini, saya melakukan dengan penuh keinsafan. Alhamdulillah,” dan air matanya makin laju meluncur ke pipi.

Tentang Z, K tidak mahu terlalu optimis. Z tahu yang K di Baitul Fiqh tetapi K tidak pasti sejauh mana kesungguhan Z ingin memperisterikannya selepas melahirkan anak.

“Saya reda. Andai dia masih tidak mahu bertanggungjawab ke atas saya atau dia masih takut untuk memberitahu orang tuanya, saya pasrah. Saya tetap jaga anak ini dengan nyawa sendiri,” katanya yang mengandungkan bayi perempuan.

Pelajaran hidup K sangat besar. Selama ini dia membaca atau mendengar cerita gadis-gadis yang hamil anak luar nikah tetapi sekarang dia turut berada di dalam cerita itu.

“Saya baru tahu perasaan mereka,” katanya.

***Gambar utama: Ustazah Nur sedang memberi pemantapan rohani kepada penghuni Rumah Perlindungan Baitul Fiqh.

0 Comments

Leave a Comment