SUATU PROPAGANDA

158 Views 0 Comment

“Daripada apa yang saya lihat dan dengar kenyataan Siti Kasim itu sebagai suatu propaganda. Mudah sahaja, asasnya apabila kita mahu dapatkan sesuatu ilmu agama semestinya kita ambil daripada mereka yang bukan saja ahli ilmu hebat malah yang mengamalkannya.

“Ia perlu supaya tidak terjadi seperti yang kita lihat hari ini orang bercakap mengikut ilmu logik akal dia sahaja. Maksudnya berhujah isu agama mengikut kehendak nafsu, bukan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, ijmak ulama dan kitab sirah serta feqah.

“Justera itu, saya sarankan ibubapa dan orang ramai bawalah anak-anak ke kelas asas fardu ain atau kelas-kelas agama bagi memantapkan kefahaman ilmu dan aqidah. Semuanya agar apabila kita mahu bergelanggang di tengah-tengah masyarakat dan kemodenan hidup ini, kita sekurang-kurangnya ada jati diri daripada mudah diperdaya atau ditipu.”

Demikian kata Ustaz Azadan Abdul Aziz yang juga anggota kumpulan nasyid popular, Rabbani ketika diminta pandangan mengenai kenyataan Siti Kasim berkaitan ucapan Hari Raya Korban baru-baru ini.

Gambar: menara.my

Gambar: menara.my

Menurut laporan www.menara.my yang bertajuk ‘Mimpi Nabi Ibrahim Bukan Dari Tuhan – Siti Kasim’, wanita itu mendakwa bahawa al-Quran tidak pernah menyatakan mimpi Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan anaknya adalah dari Tuhan.

Menurutnya lagi, Tuhan tidak akan menganjurkan kejahatan dan hanya syaitan yang menganjurkan kejahatan dan kemaksiatan.

“Quran tidak pernah mengatakan bahawa Tuhan menyuruh Ibrahim untuk membunuh (mengorbankan) anak lelakinya. Quran tidak pernah mengatakan bahawa mimpi tersebut adalah dari Tuhan. Quran mengajar kita bahawa Tuhan tidak akan menganjurkan kejahatan (lihat 7:28 dan 16:90) dan hanya Syaitan yang menganjur kejahatan dan kemaksiatan (24:21).”

“Tanggapan bahawa Allah mahukan kita melakukan perkara tidak bermoral adalah berlawanan dengan keadilan Allah,” kata Siti Kasim dalam portal berkenaan.

Siti Kasim berhujah bahawa Islam menuntut individu untuk mengorbankan ego dan kehendaknya sendiri sebagai jalan tunggal untuk mencapai tahap ‘lenyap dalam Allah’, sedangkan perbuatan mengorbankan makhluk lain adalah tidak bersumberkan kepada ajaran al-Quran.

“Berkorban bukanlah rukun Islam. Islam, menuntut pengorbanan peribadi dan penyerahan sebagai hanya satu jalan untuk mati sebelum kematian dan mencapai ‘Fana’ atau ‘lenyap dalam Allah’.

“Tanggapan mengenai ‘wakil bagi menebuskan dosa’ (membebaskan dosa seseorang menerusi darah yang lain) tidak terdapat di dalam al-Quran. Begitu juga dengan idea bagi meraih keredaan dengan menawarkan nyawa orang lain kepada Tuhan.

“Dalam Islam, apa yang dituntut sebagai pengorbanan adalah kesanggupan individu untuk menyerah ego dan kehendak individu kepada Allah,” sambungnya lagi.

Beliau mendesak umat Islam moden supaya mempersoalkan amalan korban ini secara serius kerana perbuatan ini hanya membawa kepada pertumpahan darah secara sia-sia dan menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar.

“Sekiranya seseorang tinggal di kawasan beriklim padang pasir, dalam sebuah kampung kecil di mana memakan daging adalah realiti yang tidak dapat diubahkan dan merupakan perkara mustahak untuk terus hidup, maka isu untuk mengorbankan haiwan mempunyai konteks dan berkaitan.

“Namun bagi kita yang tinggal di dunia moden, kita perlu mempersoalkan amalan ini secara serius di mana ia bukan sahaja telah kehilangan makna (dalam suasana kita sekarang ini), malah juga menyumbang kepada pertumpahan darah yang sia-sia dan kemusnahan alam sekitar,” desaknya lagi.

0 Comments

Leave a Comment