MULUT GAMPANG

394 Views 0 Comment

Hujan di luar masih menggila. Bersilih ganti dentuman guruh. Kenderaan merangkak perlahan di atas jalan hitam yang diselaputi air. Baik kereta atau lori mahupun motosikal, seolah-olah memahami waktu puncak itu. Cuaca buruk pula menambahkan sesak petang hingga mendesah rungutan para warga kota untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Zulkifli melihat keributan aktiviti manusia dari balik cermin kaca McDonalds. Petang itu Zulkifli tidak terus pulang seperti kebiasaan, lalu kafe yang pernah menjadi kontroversi atas tuduhan berkompromi dengan tentera perang di Timur Tengah tersebut menjadi sarang sementara. Lagipun dia faham benar keadaan trafik di Kuala Lumpur, apatah lagi ketika air langit mencurah lantai bumi. Jalan terbaik daripada menyesakkan dada dalam kesesakan, kafe yang tidak jauh dari pejabatnya itu menjadi pilihan.

Dia tahu dia akan lewat tiba di rumah hari ini. Hal ini telah diberitahu kepada anaknya. Itu rutinnya walaupun dia tahu anaknya itu sangat faham sesak jalan tatkala hujan di kota dan sangat faham dia sebagai ayahnya.

Sambil menghirup Americano panas di McCafe untuk menghilang dingin, kepalanya menerawang kepada kejadian di ruang pantri pejabatnya tengah hari tadi. Terngiang-ngiang di cuping telinga akan kata-kata musibat Sahibul dan turut disokong pula oleh Seman. Mereka terang-terang membantah, tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan Farid. Dia dipersalahkan dalam hal ini kerana seolah-olah dia yang menggalakkan anaknya itu menjadi pondan.

“Habis tu, kalau bukan pondan, nak kata apa? Anak hang tu pakai mekap, rambut palsu, kejap bertudung. Baju-baju tu bini hang punya ka atau hang beli untuk dia?”

Kata-kata Sahibul itu menyerap pedih ke lubuk hatinya. Dia pula bukan jenis yang mempertahankan perkara yang tidak betul. Memang Zulkifli akui perbuatan Farid itu tidak sepatutnya dilakukan. Tidak semua manusia boleh menerima, tidak semua yang terbuka seperti Wan Peah. Ego lelakinya sangat tercabar. Mahu saja diberi buku lima ke atas muka Sahibul tetapi itu bukan cara Zulkifli yang dikenali sebagai lelaki yang lemah lembut dan tidak banyak cakap.

Pandangan terhadap lalu lintas terganggu apabila seorang wanita tua yang membimbit bungkusan jualan kerepek tiba-tiba berdiri membelakanginya di luar kaca. Perhatian kini beralih kepada gajet i-Phone 7. Terfikir untuknya melihat aksi-aksi Farid di Instagram, tapi dipadamkan hasrat itu segera. Bimbang menambah sesak di dada. Namun tidak lama, Zulkifli tidak mampu menolak keinginan untuk menyaksikan bakat anaknya itu.

Farid baru memuatnaikkan video terbaru. Kali ini Farid bertudung sambil menyanyikan lagu Someone Like You versi remix. Tercatat lebih 45,000 like dalam tempoh kurang 40 minit. Ternyata Farid sangat disenangi pengikutnya. Tidak kurang juga yang mengutuk kerana Farid cuba melawan hukum alam. Namun tiada satu pun jawapan balas daripada Farid. Hairannya Zulkifli tidak pula berasakan dia harus marah dengan apa yang dilakukan Farid. Malah apa yang dilakukan Farid sangat menghiburkan walaupun ada ketika hatinya bertanya.

“Apakah ini karma?” bisik hatinya.

Karma itu membawanya kepada cerita lama, cerita yang seharusnya dipadamkan daripada sejarah hidupnya. Namun dia tahu segala bukti sejarah itu cuma mampu dikuburkan tetapi memorinya kekal segar. Kenangan hidup di pentas ronggeng kembali menguasai pemikirannya. Tiba-tiba airmatanya mengguyur ke pipi, seiring lebatnya hujan di luar sana. Semakin dikenang, semakin deras air jernih itu. Zulkifli cuba melawan, cuba bertahan agar pelanggan lain kafe itu tidak perasan akan apa yang sedang terjadi. Mahu saja ketika itu dia keluar, biar hujan menyelimuti tangisan untuk dia menangis sepuas-puasnya. Biar hujan yang membasahi pipinya, membasuh airmatanya.

Dalam asyik melayan perasaan itu, Zulkifli tidak perasan ada sepasang mata yang memberi perhatian.

**BERSAMBUNG

0 Comments

Leave a Comment