JANTAN TEMPEK MEKAP

1217 Views 0 Comment

Sudah berkali-kali ayahnya menegur. Namun Farid buat bodoh. Sebab dia tahu ayahnya takkan meninggi suara. Dia tahu yang ayahnya sangat sayangkannya. Satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga yang didominasi adik beradik perempuan. Farid yang ketiga daripada lima beradik. Statusnya itu cukup membuatkan Farid berasa diri di dalam status yang bahagia.

“Kenapa Farid buat macam tu? Tak malu? Lain kali jangan buat lagi,” itu sahaja nasihat ayahnya.

Bagi Farid, ayahnya telah diprovokasi oleh teman-teman. Bagi Farid, teman-teman ayah dengki terhadap populariti yang sedang dicapainya. Bagi Farid yang akan menduduki SPM hujung tahun ini, tiada salahnya untuk meniru gaya artis pujaannya. Dayang Nurfaizah, Ziana Zain, Ning Baizura antaranya dan ada ketika dia bertukar menjadi Christina Aguilera dan Beyonce. Semua lagu popular penyanyi-penyanyi ini dihafal Farid. Sebut sahaja lagu mana, pantas dia menukar melodi dan gerak tubuhnya.

Dan bagi Farid, itu adalah bakat yang dianugerahkan Allah. Anugerah yang baginya harus diberitahu satu dunia akan kebolehannya itu. Video Farid menyanyi secara ‘miming’ atay lipsync lagu-lagu artis wanita itu mudah menjadi viral. Sehingga kini, Farid antara instafamous ternama di kalangan pelayar media sosial. Bangga Farid apabila jumlah pengikutnya kian merapati angka satu juta orang. Sudah melintasi angka beberapa artis tersohor lain. Kembang hidungnya!

“Kalau nak cari publisiti pun, takkan nak kena pakai baju perempuan. Muka jantan tapi mekap penuh ditempek kat muka. Anak kau ni…” kata-kata Seman, rakan sepejabat Zulkifli terhenti apabila wajah temannya itu berubah.

Namun seperti biasa, Zulkifli tak banyak melawan. Dia lebih senang mendengar sebelum bertimbal balas anda dia ada pandangan sendiri. Bagaimanapun kali ini Zulkifli memang ada pandangan. Banyak kerana ia melibatkan anaknya, Farid bin Zulkifli.

“Kau nak kata anak aku pondan?” tiba-tiba ada keberanian pada Zulkifli.

“Habis tu, kalau bukan pondan, nak kata apa? Anak hang tu pakai mekap, rambut palsu, kejap bertudung, kejap tali halus. Baju-baju tu bini hang punya ka atau hang beli untuk dia?” Sahibul pula mencelah di bilik pantri itu. Sahibul jenis yang tiada insuran mulut, tiada tapis menapis dalam berkata. Jauh sekali memikirkan perasaan orang.

“Farid tu tak malu ka? Aku tengok kat instagram dia, macam-macam orang kutuk,” Seman berani semula menyambung kata selepas melihat ada sokongan daripada Sahibul.

“Kau jangan ambil hati Zul. Kau tu kawan kami. Kami nak bagi nasihat saja. Kalau tak mahu dengar, kami tak kisah tetapi sebagai kawan baik hang, kami rasa perlu persoalkan benda ni,” nada Sahibul bersahaja sebagaimana Zulkifli yang mendengarnya pun bagaikan tiada perasaan.

Wan Peah yang baru melenggang masuk ke ruang pantri itu bagaikan tahu apa yang dibincangkan tiga lelaki itu. Senyum simpul sambil membuka pintu peti ais.

“Tapi aku suka tengok video anak kau Zul. Kelakar. Anak-anak aku pun suka. Mereka nak jumpa Farid, boleh?” Wan Peah menyampuk.

“Kelakar apanya kalau jadi pondan? Buat malu jer,” segera Sahibul membuka silat kata.

“Ehh, dengan cara itulah Farid popular. Kalau popular, banyaklah job product review masuk. Tak gitu Zul,” Wan Peah bagi satu das sambil keluar dari ruang itu.

“Banyak lagi cara nak cari duit. Tak perlu jadi pondan,” Sahibul semakin tak puas hati.

Giliran Seman memasang telinga seperti mana Zulkifli. Zulkifli pula sekadar menampilkan wajah yang tiada rasa. Tak tahu apakah dia marah dengan rakan-rakannya atau Farid yang menjadi tular.

**BERSAMBUNG

0 Comments

Leave a Comment